Sharif Ali Atau Embo Ali Pejuang Agama Dan Bangsa, Hilang Ditelan Zaman

Memperingati perjuangan dan kepahlawanan Embo Ali atau Sharif Ali dalam kalangan masyarakat Kota Belud menentang penjajahan British sehingga gugurnya beliau di medan perang dalam peristiwa Perang Pandasan seharusnya menjadi teladan kepada semua pihak terutamanya masyarakat Kota Belud. Embo Ali merupakan satu catatan silam lagenda perjuangan seorang ulama ahlul bait dan juga seorang pejuang bangsa menentang penjajahan British di Sabah. Penentangan Embo Ali terhadap penjajahan British tercetus dalam peristiwa Perang Pandasan pada tahun 1915. Perjuangan beliau sangat tinggi nilainya namun begitu, sejarah perjuangan tokoh ini semakin lama semakin dilupakan dan dibuang begitu sahaja terutama dalam minda generasi muda yang mungkin tidak langsung mengenali siapakah Embo Ali yang sebenarnya.

Embo-Ali

Sejarah perjuangan Sharif Ali atau lebih dikenali dengan nama Embo Ali, merupakan sebuah catatan sejarah yang penting bagi daerah Kota Belud. Penentangan yang tercetus di Kampung Pandasan yang merupakan sebuah perkampungan yang terletak di utara Kota Belud, jalan menuju ke Kudat. Sebuah perkampungan yang sangat tenang dan damai ini telah mengukir sejarah yang penting dalam negara ini. Mengungkap kembali sejarah Pandasan ini secara mendalam wajar dilakukan untuk mengenang pergorbanan dan perjuangan beliau dalam mempertahankan agama dan bangsa daripada pihak British.

Perjuangan Embo Ali tidak berlatarbelakangkan kepentingan peribadi, tapi perjuangannya hanya untuk bangsa dan agama. Beliau menolak harta dan pangkat, mengetepikan kesenangan dan kemewahan serta menyerahkan seluruh jiwa raga dan hidup matinya hanyalah kepada Allah untuk menegakkan agama Islam dibumi bertuah ini. Beliau tidak meninggalkan harta dan pangkat kepada anak keturunannya melainkan perjuangannya yang suci mempertahankan islam dari tergadai. Darah yang mengalir membasahi medan perang Pandasan, jasad yang terkubur di tanah merdeka Pandasan, Pokok-pokok dan sungai yang telah menjadi saksi akan keikhlasan perjuangan Embo Ali mempertahankan agama dan maruah bangsa.

Embo-Ali

Kepimpinan beliau sebagai pemimpin terulung di Kota Belud berjaya menyatukan pelbagai etnik untuk bangkit menentang pihak Inggeris dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang cuba merampah dam memaksa masyarakat tunduk kepada kehendak mereka. Namun ketegasan Embo Ali yang tidak sanggup menjual agama, maruah diri dan tanah airnya kepada British telah melakukan gerakan kebangkitan, Embo Ali mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi telah mengatakan bahawa harta bukanlah taruhannya dan tidak mungkin dia akan mengadaikan maruah agamanya hanya semata-mata untuk harta dunia.

Semasa kebangkitannya, beliau melaungkan slogan ‘lawan tetap lawan’ perdamaian bukan penyelesaian dan perjanjian bukanlah jaminan bangsanya akan merdeka dan aman. Bagi beliau, bangsa yang merdeka adalah bebas daripada jiwa terjajah, bangsa ada maruah, bangsa bukan peminta, bangsa bukan hamba harta, bangsa bukan pengampu, bahkan bangsanya adalah bangsa mulia, dihormati, dihargai dan bangsa yang berbudi pekerti, beriman, bertaqwa dan berilmu.

Kepimpinan dan Kepahlawanan beliau terselah, bilamana kesemua anak muridnya mampu berlawan mempertahankan maruah bangsa dan agama tanpa rasa gentar. Walaupun mereka tahu dan menyedari bahawa pertarungan dan pertempuran ini adalah penentu hidup dan mati, oleh kerana jiwa mereka diasuh dengan mati syahid mempertahankan kedaulatan agama tidak sekali-kali mereka gentar. Jiwa mereka adalah jiwa merdeka, semangat juang yang tinggi mengalir dalam jiwa mereka menyebabkan nyawa tidak lagi difikirkan dan diperhitungkan kerena matlamat mereka adalah maruah, agama dan bangsa. Embo Ali menyerlahkan krebiliti beliau selaku pemimpin ulung, susah senang bersama rakyat, jiwa pejuang seorang telah sebati dalam diri, ‘biar putih tulang jangan putih mata, biar mati berdarah, jangan hidup merana. Itulah karisma Embo’ Ali dalam perjuangannya yang menjadi penyatuan semua etnik yang sedar akan erti jiwa merdeka.

Embo-Ali

Perjuangan Embo Ali dan pengikutnya sangat unik dan misteri kerana mereka bersenjatakan peralatan tradisi serta berbekalkan kekuatan iman dan keberanian sedangkan penjajah bersenjata senapang dan meriam. Embo Ali dan pengikutnya sanggup berperang demi mempertahankan maruah Islam yang diperkotak-katikkan oleh penjajah dan menganggapnya sebagai ‘Perang Sabil’ (fisabilillah). Embo Ali juga yakin bahawa penentangan yang mereka lakukan adalah berlandaskan tuntutan Islam kerana mereka percaya tunduk kepada British bermakna mereka menyerahkan pegangan agama yang diperjuangkan. Mereka menunggu ketibaan British dengan berzikir dan berpakaian serba putih (tentera Putih) yang menunjukkan mereka sanggup mati syahid demi Islam.

Embo-Ali

Biarpun perjuangan beliau lebih 105 tahun yang lalu, namun ianya masih kekal dan mengakar dalam sanubari kita semua, kita ambil iktibar atas ketegasan beliau. Kepada pemimpin yang mahu mengaku pemimpin, lihatlah bagaimana Embo Ali mengutamakan rakyat atau bangsanya sehingga beliau dulu yang terkorban kerana rasa kebertanggungjawaban yang tinggi. Pemimpin sebeginilah yang seharusnya ada pada hari ini, yang sentiasa bersama dengan rakyat sehingga ke liang lahad.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.