Sektor Pelancong Merupakan Sektor Utama Halatuju Kerajaan Negeri

SANDAKAN, 26 Mac – Kerajaan memanfaatkan keindahan alam semula jadi serta kekayaan khazanah budaya di Sabah dengan menjadikan pelancongan sebagai salah satu sektor dalam Halatuju kerajaan.

(Gambar Atas) Musa menyampaikan ucapan sempena Majlis Perhimpunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam CUEPACS di Dewan Serbaguna Libaran semalam.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata kerajaan sedar bahawa tidak lagi dapat bergantung sepenuhnya kepada hasil kayu balak, maka perlu mencari alternatif untuk menjana ekonomi negeri.

“Hari ini, pelancongan menjana limpahan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan perniagaan di seluruh negeri. Sektor perkhidmatan yang didorong oleh industri pelancongan telah membuktikan daya tahannya walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam industri ini.

“Sepanjang Januari ke November tahun 2017, seramai 3.3 juta orang pelancong telah melawat ke negeri Sabah. Ini merupakan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu lebih kurang 3.07 juta orang,” katanya.

Beliau berkata dengan kemasukan pelancong yang ramai ini, jumlah resit pelancongan yang diterima dianggarkan sebanyak RM7.02 bilion iaitu peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding RM6.52 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2016.

“Sebagai tambahan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia selepas KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dengan lebih 418 penerbangan domestik dan 178 penerbangan antarabangsa pada setiap minggu,” katanya.

Musa berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam CUEPACS di Dewan Serbaguna Libaran, pagi Isnin.

Beliau berkata hotel-hotel di Kota Kinabalu juga menduduki purata penghunian tertinggi di seluruh negara sepanjang tahun dan jumlah pelancong ke Sandakan serta sekitarnya semakin bertambah.

“Atas sebab itulah, dan dengan bantuan kerajaan persekutuan, atas persetujuan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak, kita akan terus menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Sandakan untuk menampung dan menggalakkan lebih banyak penerbangan ke daerah ini,” jelasnya.

Dalam industri pelancongan, beliau menambah banyak produk kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat pelbagai kaum dan etnik menjadi daya tarikan kepada pelancong.

“Untuk itu, kita telah membina Pusat Kraftangan Sabah di Keningau, yang mempamerkan idea-idea kreatif pembuat kraftangan tempatan dari seluruh Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata Sabah juga dikurniakan dengan tanah luas dan subur serta iklim sesuai untuk sektor pertanian yang menjadi pemangkin ekonomi dalam menjayakan Halatuju tersebut.

“Banyak yang boleh dimanfaatkan melalui aktiviti pertanian, ternakan dan akuakultur. Untuk itu, kita telah mewujudkan Pusat Ternakan Bersepadu di Keningau (KILC) dan menghidupkan semula Desa Cattle di Kundasang. Ini turut memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata Sabah merupakan pengeluar terbesar Minyak Sawit Mentah (CPO) dan dari segi pendapatan, cukai jualan CPO merupakan penyumbang kedua terbesar kepada tabung negeri dengan purata antara RM800 juta hingga RM1 bilion.

“Dalam konteks ini, kita perlu meneroka potensi pertumbuhan dalam sektor pemprosesan hiliran kelapa sawit, dengan menjadikan sektor pembuatan sebagai antara tumpuan dalam Halatuju bagi menjana sumber pendapatan yang lain untuk negeri.

“Inilah faktor pendorong kepada pembangunan Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan, sebagai pusat bersepadu untuk pemprosesan hiliran kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata POIC Lahad Datu telah mencatatkan 44 projek dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.35 bilion dan menyediakan 2,293 peluang pekerjaan.

“Sementara itu, POIC Sandakan pula telah melaksanakan tiga projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM158 juta. Selain POIC, Kerajaan juga melaksanakan usaha berterusan dalam membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas untuk pelabur,” katanya.

Musa berkata ini terbukti dengan pembinaan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah, Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) dan lain-lain projek berkaitan.

“Rancangan-rancangan ekonomi di bawah Halatuju adalah sejajar dengan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan kita gembira untuk menyatakan bahawa program-program ini berjalan dengan lancar, serta memberi manfaat kepada kita di Sabah,” katanya.

SUMBER – Petikan berita daripada Utusan Borneo Online (2018-03-26)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.