Sejarah Dan Misteri Rumah Agam Agnes Keith, Sandakan

Setiap bangunan yang dibina memiliki cerita atau sejarahnya tersendiri yang pastinya berbeza dan mempunyai keunikan setiap satunya. Begitu juga dengan kediaman Agnes Keith yang telah wujud bertahun-tahun lamanya. Rumah agam ini terletak di Jalan Istana Sandakan, Sabah. Keunikan seni bina, dekorasi dan sejarah yang terdapat di rumah ini menjadikannya ianya salah satu destinasi pelancongan yang sangat menarik untuk dikunjungi. Rumah dua tingkat yang binaannya berasaskan kayu sangat cantik dan begitu menggamit orang ramai untuk datang melihatnya dengan lebih dekat lagi.

Agnes keith

Rumah agam ini pernah terbiar dan hampir roboh, walau bagaimanapun pada tahun 2001 Muzium Negeri Sabah telah melakukan pemuliharaan dan berjaya mengekalkan seni bina dan reka bentuk asal rumah agam ini. Rumah ini terletak di atas bukit dan dikelilingi pepohonan yang menghijau menjadikan suasana di rumah ini begitu nyaman dan memukau mata yang memandang. Hiasan dalaman rumah agam ini masih mengekalkan konsep asal dekorasinya dan masih dilengkapi dengan perabot zaman kolonial. Perabot yang digunakan kelihatan sangat ringkas dengan menggunakan susunan perabot di setiap sudut rumah. Kayu digunakan sebagai bahan utama perabot di dalam rumah tersebut yang terdiri daripada katil, meja makan, almari dan meja hiasan disusun ringkas.

Selain itu, rumah agam ini turut menggunakan dekorasi rumah daripada barang-barang antik. Barang-barang antik yang menjadi perhiasan di rumah agam ini ialah seperti pasu, tembikar, cawan, peti air, mesin jahit, alat pemain piring hitam, lampu, mesin taip, gong, pinggan mangkuk, telefon dan sebagainya. Di dinding rumah ini pula terdapat keterangan tentang siapa Agnes dan keluarganya. Di tingkat bawah, terdapat ruang tamu serta dapur dengan ruang makan yang sangat luas. Sementara itu di tingkat atas, terdapat bilik tidur utama dan bilik tamu yang kini dijadikan ruang teater selain bilik bacaan dan galeri mini bergambar memaparkan perjalanan hidup Agnes terutama ketika menetap di Sandakan.

Tentu para pembaca tertanya-tanya siapakah Agnes Keith dan apa istimewanya dia sehingga namanya diabadikan pada rumah agam ini, sedangkan sudah berpuluh-puluh orang yang pernah tinggal di kediaman ini. Jadi untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com Agnes merupakan seorang penulis fiksyen yang menggunakan pelbagai nama samaran, beliau dilahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Agnes menamatkan pengajian di University of California, Berkeley dan mendapat pekerjaan sebagai wahtawan di The San Francisco examiner pada 1924. Agnes telah berkahwin dengan Harry Keith yang merupakan seorang PengawaiKonservasi Hutan yang bertugas di sandakan pada 1934, beliau mengikut suaminya ke Sandakan dan tinggal di rumah agam ini.

koleksi buku agnes

Agnes dan pasangannya merupakan penghuni kedua rumah agam inyang sebelum ini dihuni oleh M.M Clark, Rumah ini lebih dikenali sebagai rumah agam Agnes kerana di rumah inilah beliau telah menghasilkan sebuah buku ‘Land Below The Wind’ pada tahun 1939, buku ini menceritakan tentang kehidupan masyarakat tempatan Sabah serta alam semula jadinya. Buku ini juga telah memenangi pertandingan kategori bukan fiksyen anjuran majalah Atlantic Monthly. Dan untuk pengetahuan pembaca urangsabah.com juga gelaran Negeri Di Bawah Bayu yang diberikan kepada negeri Sabah ini adalah inspirasi daripada karya Agnes itu sehinggalah beliau dianggap sebagai ‘duta’ negeri Sabah.

Semasa meletusnya Perang Dunia Kedua, Agnes dan keluarganya telah pelang ke Amerika Syarikat, namun pada tahun 1946 beliau kembali ke Sandakan dan mendapat rumah agam ini telah roboh. Walau bagaimanapun rumah ini telah dibina semula dan Agnes telah menamakan rumah ini sebagai ‘ Newlands’ dan Agnes juga telah menghasilkan dua buah buku yang berjudul ‘ Three Came Home’ pada 1946 dan ‘ White Man Returns’ (1951). Pada 1952 Agnes dan keluarganya telah pulang ke Amerika Syarikat dan rumah agam ini kekal dikenali sebagai rumah agam Agnes Keith dalam ingatan masyarakat Sabah khususnya Sandakan. Muzium Negeri Sabah telah menamakan rumah ini sebagai ‘Rumah Agnes keith; sebagai tanda penghargaan dan peringatan kepada beliau.

Namun begitu, disebalik keindahan dan kedamaian rumah agam ini banyak menyimpan cerita misteri dan belum dapat dirungkai sehingga kini. Sesiapa yang berkunjung ke sini pasti akan mengetahui kisah disebalik rumah agam ini. Agnes pernah menulis dalam satu buku “saya tidak percaya hantu, tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang”. Selain itu, Rosemary yang tinggal di rumah ini pada tahun 1955-1967 juga mengalami pengalaman seram. Menurut cerita Rosemary dia terbangun pada awal pagi dan terdengar pintu di bilik paling hujung ditutup beberapa kali diikuti dengan bunyi orang berjalan menuju ke biliknya dan secara tiba-tiba dia melihat satu lembaga wanita yang sedang berdiri di hujung katil sambil melihat kearahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan.

Agnes

Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga. Banyak lagi catatan dalam bentuk makalah yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan. Ia membuktikan di sebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikan ia lebih menarik untuk dikunjungi.

Mungkinkah suatu hari nanti, cucu cicit Agnes akan kembali ke sana untuk menyaksikan sejarah yang ditempa oleh ahli keluarganya. Tiada siapa yang tahu. Jadi apa pendapat pembaca semua, adakah anda juga pernah mengalami dan menghadapi situasi yang menyeramkan disini?

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.