Ringkasan Sejarah Awal Pekan Beaufort

Beaufort merupakan salah satu pekan dan juga bandar yang terletak di Sabah, di sini terdapat sebuah rumah kedai yang telah dibina bertahun-tahun lamanya iaitu semasa zaman pemerintahan British. Daerah ini diwujudkan untuk membantu meningkatkan ekonomi Borneo Utara, pada awalnya aktiviti ekonomi yang dijalankan adalah berasaskan getah. Semasa Perang Dunia II, daerah ini merupakan salah satu tapak pertempuran antara tentera Jepun dan Australia di Sabah.

Beaufort_sabah

Beaufort juga merupakan salah satu perhentian Keretapi Negeri Sabah. Khidmat perubatan turut dibekalkan oleh hospital kerajaan. Terdapat juga tiga klinik swasta dalam kawasan bandar. Kawasan ini biasanya dilawati oleh pelancong dengan tujuan ingin berakit melalui Jeram Padas di Sungai Padas. Majoriti penduduk Beaufort adalah dari suku kaum Bisaya, Kedayan dan Melayu Brunei. Juga terdapat suku kaum Murut, Cina, Lun Bawang/Lun Dayeh dan Kadazan-Dusun yang menetap di dalam daerah ini.

Di sini juga terdapat pasar terbuka yang dikenali sebagai tamu. Ianya diadakan setiap minggu pada petang Jumaat sehingga petang Sabtu. Pelbagai hasil keluaran tempatan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, daging, dan ayam hidup dijual. Hari tamu tersebut diadakan berbeza dari daerah lain. Beaufort juga terkenal dengan hidangan mee cina yang dikenali sebagai Mee Beaufort, dihidangkan secara kering atau berkuah.

beaufort_Sabah_Malaysia

Untuk pengetahuan urangsabah.com, tapak pekan Beaufort telah dipilih oleh Encik William Clake Cowie yang merupakan seorang Pagawai Syarikat Borneo Utara British yang juga merupakan Pengarah Urusan Syarikat itu pada bulan Januari 1898. Tapak yang sebenarnya tidak didiami itu telah dibuka untuk mendirikan sebuah perhentian keretapi berdekatan dengan teluk Brunei. Nama Beaufort diambil sempena memperingati seorang Gabenor bernama Leicester P. Beaufort yang telah mentadbir Sabah diantara tahun 1896 hingga 1900.

Beaufort didirikan di kawasan yang rendah berdekatan dengan Sungai Padas. Oleh itu, pekan Beaufort selalu mengalami banjir apabila Sungai Padas melimpahi tebingnya. Pada awal penubuhannya, pekan Beaufort sentiasa mengalami kerosakan yang diakibatkan oleh air banjir yang menghanyutkan bangunan-bangunan kerajaan dan kedai yang dibina. Oleh kerana itu, kerajaan British telah menggalakkan pembinaan bangunan-bangunan yang tinggi supaya tidak di tenggelami oleh air banjir.

beaufort_Sabah_Malaysia

Pekan Beaufort telah berkembang sebelah menyebelah Sungai Padas. Oleh sebab itu, ia terbahagi kepada dua bahagian yang masing-masing mempunyai stesen keretapi, rumah-rumah kediaman pegawai-pegawai kerajaan dan bangunan-bangunan kedai. Bahagian barat Beaufort menguruskan stesen keretapi yang menuju ke Bukau dan Weston manakala bahagian timur Beaufort pula, menghubungkan Kota Kinabalu
(Jesselton) dengan Tenom. Selain itu, Beaufort juga dijadikan sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Seorang Pegawai Daerah telah ditugaskan untuk mengurus Pentadbiran Beaufort dan kawasan-kawasan yang berhampira termasuk Kuala Penyu, Membakut, Menumbok dan Klias.

Kegiatan pertanian merupakan aktiviti utama penduduk Beaufort. Kegiatan pertanian seperti penanaman sagu telah diusahakan oleh penduduk-penduduk tempatan dan juga pengusaha Eropah. Galakan juga telah diberi untuk tanaman komersil lain seperti pisang lanut. Percubaan telah dibuat pada tahun 1898 oleh sebuah Syarikat bernama Ramie Fibre Company untuk menanamnya di Beaufort tetapi usaha ini gagal. Pada awal abad ke 20, penanaman sagu telah diketepikan oleh ladang-ladang sagu seperti Ladang Woodford telah menumpukan perhatian kepada getah yang pada masa itu sedang mendatangkan pendapatan yang amat lumayan kepada para pengusahanya. Kemajuan dalam industri getah pada zaman itu telah menyumbang kepada perkembangan bandar Beaufort sehingga ia lebih di kenali sebagai “ Bandar Getah ”. Ini berlaku kerana kebanyakan ladang-ladang getah telah di buka disekitar kawasan Beaufort dan stesen keretapi pula, sibuk menguruskan bahan-bahan yang berkaitan dengan industri getah.

Beaufort_Sabah_Malaysia

Beaufort seperti juga bandar-bandar lain di Sabah, telah dimusnahkan semasa Perang Dunia Kedua akibat pengeboman yang dilakukan oleh askar-askar Australia semasa pembebasan Sabah daripada pemerintahan tentera Jepun. Pemusnahan ini memberi peluang lagi kepada kerajaan penjajah untuk mendirikan pekan yang baru di kawasan lebih kurang setengah batu daripada tapak asal yang lebih selamat daripada banjir. Walaupun demikian, pembangunan semula selepas perang masih lagi diadakan di atas tapak yang lama dan sehingga sekarang, bandar Beaufort masih lagi mempunyai bangunan-bangunan yang akan dinaikan air beberapa meter daripada paras jalanraya.

Beaufort merupakan bandar tunggal yang menjalankan urusan harian secara biasa walaupun ia di landa banjir, hanya rakit atau sampan sahaja menjadi kenderaan pengganti di jalanraya yang biasa. Semasa zaman penjajahan, ada andaian bahawa kriteria terpenting dalam pemilihan Pegawai Daerah bagi Beaufort ialah kecekapan seseorang pegawai itu untuk berenang.

beaufort_Sabah_Malaysia

Majlis Daerah Luar Bandar Beaufort telah ditubuhkan pada tahun 1958 dibawah Ordinan kerajaan Tempatan (Bahagian 132) 1951. Majlis ini diwujudkan untuk mengawal hal-hal berkaitan dengan kewangan, penggubalan undang-undang kecil khas untuk Beaufort sahaja dan kerja-kerja am seperti pembangunan daerah dan pengawalan kesihatan bandar. Penubuhan Majlis ini telah menyumbang kepada kecekapan dalam menjalankan pentadbiran daerah Beaufort.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.