Mitos Hantu Menurut Kepercayaan Kaum Bajau

Masyarakat bajau merupakan salah satu kaum yang terbesar di Sabah. Masyarakat Bajau boleh didapati dan biasanya boleh dilihat di sekitar persisiran pantai Sabah. Seperti mana suku kaum lain yang terdapat di Malaysia, masyarakat Bajau juga kebanyakkannya menjadi nelayan dan petani. Pada suatu ketika dahulu, sebelum datangnya Islam masyarakat Bajau mengamalkan agama animisme. Walau bagaimanapun, masih ada masyarakat Bajau yang masih mempercayai dan mengamalkan adat, budaya pantang larang yang diwarisi secara turun-temurun. Antaranya ialah tentang makhluk ghaib atau makhluk halus yang sukar dilihat oleh mata manusia biasa.

Hantu yang diwarisi.
1. Gimbaran
Gimbaran merupakan sejenis makhluk halus yang biasanya dijadikan kawan atau teman kepada pemiliknya. Dalam erti kata lain manusia menjadikan makhluk halus sebagai kawannya. Hanya tuannya sahaja yang boleh berurusan dan berinteraksi dengan makhluk tersebut. Biasanya manusia yang menjadikan makhluk halus ini sebagai kawan kerana untuk meminta bantuan khususnya dalam bidang perubatan. Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, kebiasaannya Gimbaran diperolehi dengan mewarisinya dari nenek moyang atau menuntut ilmu hitam. Masyarakat melayu biasanya menyebutnya sebagai saka. Orang yang memiliki Gimbaran atau saka biasanya tidak menyedarinya sehinggalah dia bermimpi atau terjadinya sesuatu yang pelik dan luar biasa kepada dirinya. Gimbaran akan mencari tuan baru bilamana tuannya sedang nazak atau sudah tiba masanya. Kebiasaannya pada zaman dahulu, masyarakat Bajau menjadikan golongan ini sebagai tempat rujukan dan bergantung terutamanya dalam hal mengubati penyakit kerana mereka percaya bahawa jin mampu mengubati penyakit, melindungi atau melawan kuasa-kuasa jahat yang mengganggu kehidupan mereka.

mitos hantu

Orang yang memiliki Gimbaran biasa akan melakukan amalan ‘berasi’ atau ‘mengalai’. Amalan ini biasanya berkaitan dengan perubatan menggunakan pertolongan jin atau makhluk halus. Masyarakat Bajau amat percaya ketika pemilik Gimbaran sedang ‘mengalai’ dia akan tahu jika terdapat sesiapa yang mentertawakannya atau tidak percayakannya walaupun tanpa memberitahu atau menunjukkan perlakuan. Dinasihatkan kepada mereka yang tidak mempercayaai ritual ini agar meninggalkan kawasan tersebut bagi mengelakkan ‘gimbaran’ marah.

2. Balan-balan
Selain Gimbaran, masyarakat Bajau juga sangat percaya kepada sejenis makhluk yang mungkin juga boleh disebut sebagai hantu atau manusia. Balan-balan merupakan manusia yang salah menuntut ilmu, manusia ini dikatakan boleh mencabut kepada dari tubuhnya. Tujuan mereka mengamalkan ilmu ini adalah kerana ingin kekal muda, cantik dan hidup lama. Sesiapa yang ingin menuntut ilmu ini perlulah mengamalkan bacaan jampi dan mentera tertentu selama empat puluh empat malam berturut-turut. Selepas cukup empat puluh empat malam, badan pengamal ilmu syaitan ini akan menjadi panas dan miang sebelum kepalanya tercabut dan terpisah dari badannya. Dalam kalangan orang melayu, balan-balan dikenali sebagai hantu penanggal atau tenggelong. Makhluk ini biasanya menjadikan darah atau uri perempuan bersalin sebagai makanannya.

balan-balan

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, balan-balan hanya akan terbang atau mencari mangsanya pada waktu malam dan pada siang hari ia bergerak seperti manusia biasa. Dikatakan juga apabila balan-balan ini sedang terbang pada waktu malam, orang yang melihatnya akan nampak seperti sebuah cahaya berbentuk bulat yang bergerak diudara. Ini disebabkan darah yang menitis daripada isi-isi perutnya yang terburai. Selain itu, dikatakan juga bahawa terdapat balan-balan yang boleh berjalan seperti orang biasa. Orang hanya akan mengetahui jika seseorang itu balan-balan hanya apabila berlakunya kelahiran atau kematian. Terdapat juga balan-balan yang mempunyai jasad seperti manusia biasa, mereka ini hanya berjalan pada waktu malam. Untuk mengetahui samada balan-balan berada berdekatan dengan kita atau tidak ialah dengan mendengar hilai tawanya.

Bunyi seperti kuda atau ayam tetapi nyaring. Sekiranya bunyi hilai ketawanya kuat didengar, maknanya balan-balan itu berada jauh dari tempat orang yang mendengar tetapi sekiranya bunyinya kedengaran sayup-sayup dikejauhan makna balan-balan itu berada berdekatan kita . Balan-balan tidak tahan dan takut kepada air dan bau limau. Bagaimanapun seseorang yang memiliki ilmu balan-balan ini masih boleh diubati. Antara contoh perubatan ialah dengan meminumkan seseorang pengamal itu dengan air tembakau. Setelah itu ia dihayunkan sehingga mabuk dan termuntah. Apabila pengamal tersebut muntah, akan keluar bersama muntahnya sejenis lembaga berupa burung (burung pipit) atau anak tikus. Dipercayai sekiranya seseorang itu memuntahkan burung, bermakna ia mengamalkan ilmu balan-balan yang boleh terbang. Manakala sekiranya ia memuntahkan anak tikus bermakna ia mengamalkan ilmu balan-balan yang berjalan seperti manusia biasa.

balan-balan

Mitos roh orang mati bangkit dari kubur
1. Mangat
Dalam istilah Bajau, mangat merupakan hantu, Mangat mengikut kaum Bajau merujuk kepada semua jenis hantu. Istilah ini berasal dari perkataan melayu iaitu ‘semangat’ yang bermaksud roh. Namun begitu, terdapat segelintir dari masyarakat Bajau mempercayai bahawa mangat ialah sejenis hantu yang bangkit dari kubur atau lebih dikenali sebagai Hantu Bangkit. Walau bagaimanapun cerita mengenai hantu ini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.

2. Hantu Bangkit
Sama seperti cerita hantu pocong versi melayu, hantu Bangkit juga muncul setelah seseorang yang beragama islam murtad. Masyarakat Bajau percaya bahawa orang yang meninggal dalam keadaan murtad akan bangkit menjadi hantu dan akan merayau-rayau di sekitar tempat tinggal sepanjang hayatnya. Oleh kerana kepercayaan inilah masyarakat Bajau akan menjaga kubur orang yang baru mati selama tujuh malam berturut-turut. Mengikut kepercayaan orang lama Bajau, hantu Bangkit dikenali sebagai ‘panggua’ atau ‘pangguwa’ ianya merujuk kepada hantu yang keluar dari kubur orang yang baru meninggal.

pocong

Penunggu Yang Menghuni Sesuatu Tempat Yang Keramat Atau Keras
1. Kokok atau Soyang.
Hantu kokok adalah sejenis hantu yang akan muncul selepas hujan bertujuan untuk menyesatkan manusia atau menyembunyikan mangsanya. Kokok boleh bertukar wajah menjadi seseorang yang sangat dikenali oleh mangsa dan mangsa yang terpedaya dengan muslihat kokok akan mengikut ke mana sahaja kokok pergi. Keadaan ini menyebabkan si mangsa dengan mudah mengikut ajakannya.
Mangsa sendiri tidak sedar yang dia telah disembunyikan kerana kokok melakukan penyamaran yang sangat sukar untuk dikesan ditambah lagi dengan tiada tingkah laku yang ganjir. Mangsa boleh melihat dan nampak orang lain termasuk orang yang mencarinya tetapi orang lain tidak nampak akan dirinya. Mangsa juga dikatakan tidak boleh bercakap.

seram-hantu

Biasanya orang-orang tua yang pandai akan dipanggil untuk mengesan mangsa. Dengan jampi serapah yang dibaca oleh orang ‘pandai’ itu, mangsa boleh ditemui antara 30 minit hingga beberapa jam selepas itu. Biasanya mangsa didapati berada di sekitar tempat pencarian itu dilakukan dalam keadaan duduk-duduk (rileks) tetapi sukar berbicara. Kadang-kadang badan mangsa berlumuran dengan cecair licin dan berbau hanyir. Mangsa akan dimandikan oleh orang ‘pandai’ itu sebelum dibawa naik ke rumah untuk dipulihkan semangatnya dan membersihkan tubuhnya.

2. Galap
Galap merupakan hantu air yang suka menggoda para nelayan atau pemancing terutama semasa waktu maghrib hingga isyak. Jika para nelayan menangkap ikan, ikan yang ditangkap adalah luar biasa. Selalunya pancingnya selalu mengena, tidak perlu menunggu lama. Dan ada ketikanya ikan yang diperolhi agak ganjil. Contohnya kail melekat pada ekor ikan tersebut atau ikan yang diperolehi tidak cukup sifatnya.

seram-hantu-air

Itulah antara kepercayaan yang masih menjadi pegangan masyarakat Bajau mengenai makhluk halus atau hantu. Jadi kepada pembaca setia urangsabah.com semua, jika ada sebarang pandangan, cadangan atau apa-apa info boleh tulis diruang yang telah disediakan.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.