Lagenda Gua Gomantong Sabah

Gua Gomantong terletak di dalam Hutan Simpan Gomantong (Hutan Dara) dengan keluasan 3297 hektar, dalam daerah Kinabatangan. Gua Gomantong merupakan salah satu daripada gua-gua yang tersenarai dalam Bahagian II Jadual 4 iaitu gua milik kerajaan, Gua Gomantong merupakan salah satu contoh kejayaan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jabatan Hidupan Liar. Gua Gomantong kaya dengan sarang burung layang-layang yang bermutu tinggi dan mendapat permintaan yang banyak dari luar negara.

Gua-Gomantong

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, gua ini memiliki cerita lagenda yang tersendiri yang menjadi cerita turun-temurun. Berikut merupakan cerita yang disampaikan oleh beberapa penduduk kampung, Raja Tua Batulong telah pergi ke dalam hutan tebal untuk berburu bersama anjing kesayangannya. Raja Tua Batulong dikatakan tersesat di dalam hutan ketika sedang asyik melihat dan memerhatikan kesan tapak kaki rusa dan tembadau, anjingnya juga sudah tidak ada bersama beliau ketika itu walaupun sudah berkali-kali dipanggil.

Raja Tua Batulong sudah tidak mempunyai jalan lain selain meneruskan perjalanannya, selama seminggu beliau tersesat di dalam hutan hanya pucuk kayu dan buah-buahan yang menjadi makanannya. Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan sebelum dengan tiba-tiba dia melihat sebuah gua besar di sebuah bukit batu kapur yang tinggi di hadapannya. Raja Tua Batulong memilih untuk masuk ke dalam gua tersebut untuk beristirehat, Raja Tua Batulong mendapati gua berkenaan dipenuhi oleh sarang burung lalu menanda dan menamakan gua berkenaan dengan nama Agup Tagarang.

gua-gomantong

Ketika sedang melepaskan lelah dalam gua berkenana, Raja Tua Batulong mendengar suara anjingnya tidak jauh dari kawasan tersebut. Raja Tua Batulong berlari mencari anjingnya dan mendapati bahawa anjing tersebut sedang mengejar seekor babi hutan, tanpa melengahkan masa Raja Tua Batulong melompat kehadapan bersama lembing dan mengejar binatang buruan itu untuk mengisi perutnya yang sudah seminggu makan pucuk kayu sahaja. Tidak lama selepas itu, babi hutan yang diburunya dapat ditangkapnya dengan lembing tajam miliknya menembusi jantung babi berkenaan. Ketika sedang membersihkan babi tersebut Raja Tua Batulong kehairanan kerana mendapati banyak sarang burung di dalam perut babi berkenaan, babi tersebut dipanggang dan dimakan bersama anjingnya.

Suasana malam di gua berkenaan sangat sunyi hanya sekali sekali kedengaran bunyi cengkerik dan bunyi dengkuran Raja Tua Batulong diselangi dengan bunyi nafas anjingnya. Dengan tiba-tiba muncul asap berkepul-kepul dan muncul tujuh orang puteri dibalik asap tersebut, Raja Tua Batalong terkejut dan bimbang jika ketujuh-tujuh puteri berkenaan adalah jelmaan roh jahat. Namun Raja Tua Batulong mendapi kaki ketujuh-tujuh puteri tersebut memijak lantai tua, kata orang tua-tua, kalau puteri jelita hanya berdiri di atas angin dan tidak menjejak lantai atau tanah, maka perlu dihindari bagi mengelak timbul masalah yang tidak diingini.

gua-gomontong-sandakan

“Kenapa saudara berada di sini?” tanya salah seorang puteri berkenaan, Raja Tua Batulong berkata behawa dia tersesat dan tidak dapat mencari jalan pulang. “Saudara jangan bimbang. Saudara teruskan perjalanan ke arah kanan, kemudian saudara akan jumpa sebuah gua yang banyak sarang burung, lebih besar dari gua yang saudara temui di Kuamut, nama gua itu Gomantong. Saudara gantung baju saudara di sana sebagai tanda supaya saudara boleh datang lagi. Lepas itu teruskan perjalanan ikut rasa hati saudara,” kata puteri itu lagi sementara yang lainnya melambai-lambaikan tangan kemudian kesemua mereka hilang secara tiba-tiba di celah kepulan asap dan angin yang bertiup lembut.

Raja Tua Batulong terkejut lalu terjaga dari tidur ketika hari hampir pagi. Dia tidak melihat sesiapa di sisinya selain anjingnya yang menggeliat seketika. Raja Tua Batulong memikirkan mimpi yang dialaminya dan yakin ketujuh puteri dalam mimpinya berkata benar. Dia mengalas perutnya dengan baki daging babi yang diperolehi kelmarin lalu meneruskan perjalanan sebagaimana panduan yang diberikan oleh ketujuh puteri jelita melalui mimpinya. Tidak lama kemudian tersergam di hadapannya sebuah bukit batu kapur yang agak tinggi dan bergua besar. Raja Tua Batulong memasuki gua berkenaan untuk memastikan itulah gua yang dimaksudkan oleh puteri dalam mimpinya.

Terdapat banyak sarang burung, hitam dan putih dalam gua berkenaan, lalu Raja Tua Batulong memetik beberapa sarang burung berkenaan untuk di bawa balik kerana memikirkan sedangkan babi boleh memakannya apatah lagi manusia. Sudah pasti sarang tersebut amat bernilai, bisik hati kecilnya. Selepas menggantungkan baju yang dipakainya di mulut gua sebagaimana yang diarahkan oleh ketujuh puteri dalam mimpinya, Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan mengikut rasa hatinya dengan diekori oleh anjingnya. Tidak lama kemudian dia menemui sebatang sungai lalu mengharungi sungai tersebut sehingga pada petang itu dia terlihat dua orang lelaki sedang mendayung sampan di sungai berkenaan.

gua-gomantong-caves

“Hai kawan, saya sesat, boleh saya tumpang” pinta Raja Tua Batulong kepada dua orang lelaki tersebut yang tidak keberatan menumpangkannya. “Saudara dari mana?” tanya seorang lelaki yang berkumis tebal yang mendayung di belakang. “Saya dari Kuamut,” balas Raja Tua Batulong yang menceritakan serba sedikit bagaimana dia boleh berada di tebing sungai ketika kedua lelaki berkenaan mendayung sampan. Walaupun pergerakan sampan tersebut terlalu perlahan, namun Raja Tua Batulong gembira kerana dapat keluar dari hutan tebal berkenaan. Hampir tengah malam barulah mereka tiba di kampung dua orang lelaki tersebut, Kampung Melapi berdekatan dengan Kuala Menungal. Mereka bermalam di rumah kedua lelaki tersebut.

Keesokan paginya kedua lelaki tersebut membawa Raja Tua Batulong berjumpa dengan ketua kampung mereka, Pangeran Digadong Sama lalu menceritakan serba sedikit bagaimana mereka berjumpa dengan Raja Tua Batulong. Pangeran hanya tersenyum mendengar penjelasan anak buahnya kerana beliau ada mendengar kisah seorang lelaki dari Kuamut hilang di dalam hutan tanpa jejak ketika berburu. Pangeran mengalu-alukan kedatangan Raja Tua Batulong dan melayannya dengan baik sebagai tetamu kehormat ke kampungnya. “Saudara tinggallah di sini barang sehari dua untuk melepaskan lelah,” ujar Pangeran sambil menyerahkan persalinan dan mengarahkan keluarganya menyediakan makanan yang enak-enak untuk Raja Tua Batulong. “Terima kasih” jawab Raja Tua Batulong yang merasakan terhutang budi kepada kedua lelaki yang menumpangkannya dan Pangeran yang memberikan layanan yang begitu istimewa sekali.

gua-gomantong-sabah

Setelah kesihatan Raja Tua Batulong pulih seperti sediakala kerana diberi makanan yang berzat, maka dia menceritakan kisah sebenar bagaimana boleh sesat sehinggalah tiba di kampung tersebut kepada Pangeran. “Inilah sarang burung itu” kata Raja Tua Batulong seraya menunjukkan beberapa sarang burung yang sempat diambilnya dari Gua Gomantong yang dijumpai dengan bantuan ketujuh-tujuh puteri yang mendatangi mimpinya. “Saudara boleh ingatkah jalan ke sana?” tanya Pangeran yang begitu gembira kerana sering dikunjungi pedagang China dan Suluk yang ingin membeli sarang burung, namun Pangeran tidak mengetahui bagaimana mahu mendapatkan sarang berkenaan. “Rasa-rasa saya boleh ingat, saya ada kasi tinggal baju saya di sana sebagai tanda” balas Raja Tua Batulong berterus terang.

Pangeran mengarahkan beberapa orang pemuda kepercayaannya menemani Raja Tua Batulong kembali ke Gua Gomantong menghilir sungai dan mengikut jalan yang dilalui oleh Raja Tua Batulong sehingga menemui gua tersebut. Mereka sampai ke Gua berkenaan diserahkan kepada Raja Tua Batulong kerana bajunya tertanda di pintu gua berkenaan. Manakala gua-gua lain telah menjadi hak milik Pangeran Digadong Sama yang mengarahkan pengikutnya mendirikan beberapa pondok di pintu gua berkenaan sementara dua orang pemuda pulang memberitahu ketua mereka tugas mereka telah selesai.

gomantong-caves-sabah

Raja Tua Batulong tidak lagi kembali ke Kuamut, sebaliknya menetap di Gua Gomantong menjaga sarang burungnya bersama-sama para pengikut Pangeran Digadong Sama kerana sarang burung mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar yang berurusniaga dengan mereka di Melapi. Gua Gomantong menjadi warisan turun temurun Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama sehinggalah kedatangan British ke Sabah yang meletakkan Gua Gomantong milik kerajaan, namun masih membenarkan keturunan Raja Tua Batulong dan Pangeran Digadong Sama memungut sarang burung dengan membayar cukai sepuluh peratus sehinggalah hak pemungutan sarang terlepas daripada keturunan mereka pada tahun 1994 apabila Kerajaan Barisan Nasional memerintah Sabah.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.