Serangan Lanun Ke Atas Kunak, 20 Julai 1962.

Serangan lanun di Kunak yang berlaku pada 20 Julai tahun 1962 diceritakan oleh seorang teman yang tinggal disekitar pekan Kunak pada waktu itu. Pada suatu petang ayah kelihatan sangat gusar dan gelisah, saya memerhatikan tingkah ayah yang berjalan mundar-mandir di ruang tamu rumah kami. Di wajahnya terlihat jelas kebimbangan dan kegelisahan. Sekali-sekala ayah dilihat sedang memegang hulu kerisnya yang sentiasa tersemat dipinggang, mungkin untuk memastikan senjata pusaka yang diwarisinya ada bersama dan mungkin juga sedang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

serangan-lanun

Tiba-tiba suara ibu memecah keheningan yang tercipta “Bila serangan itu berlaku” tanya ibu, ayah menjelaskan bahawa serangan lanun itu baru sahaja berlaku dan terdapat dua tiga orang penduduk kampung yang telah terkorban. Mendengarkan itu membuatkan ibu bertambah bimbang “bahaya itu bang, janganlah abang mengikut rombongan ke pangkalan itu nanti” kata ibu yang bimbangkan keselamatan ayah. Ayah yang menyedari akan kerisauan yang melanda ibu menjelaskan bahawa jika tiada orang yang menghalang, lanun-lanun tersebut akan naik ke darat dan mereka akan membinasakan kampung ini. Pantang maut sebelum ajal dan kalau ajal sudah tiba dalam selimut pun kita akan maut.

Tidak beberapa lama setelah itu, saya melihat sebuah kenderaan landrover yang dipandu oleh seorang pengurus ladang yang berbangsa British memasuki perkarangan rumah kami. Ayah segera keluar untuk mengikut pengurus tersebut setelah berpesan kepada ibu supaya mengunci semua pintu dan tingkap yang berada di rumah kami. Kenderaan yang membawa ayah menuju ke pengkalan dan pada detik itulah saya menggangap ayah sebagai seorang pejuang mempertahankan tanah air dari dicemari lanun keparat. Itulah antara detik yang masih saya ingat ketika lanun datang menyerang dan membuat onar di Kunak pada tahun 1962.

lanun

Di dalam sebuah buku yang bertajuk “The Return of Piracy: Decolonization and International Relations in a Maritime Border Region (The Sulu Sea), 1959-1963” yang ditulis oleh Stefan Eklof. Serangan dikatakan bermula pada waktu petang iaitu sekitar jam 5.40 petang apabila sebuah kumpit sepanjang 24 kaki menghampiri pengkalan yang datang dari arah perairan Semporna.

Ketika itu, di sebuah perairan Kunak terdapat sebuah bot milik british yang disandarkan berhampitran jeti, manakala Darvel Bay yang merupakan sebuah bot penunda kayu balak milik British Borneo Timber Company berada di jambatan jeti. Apabila lanun menghampiri perairan Kunak, mereka melepaskan tembakan yang menyebabkan jurutera kapal British terkorban dan turut mencederakan dua orang kanak-kanak yang berada di situ. Lanun-lanun tersebut seterusnya menyerang Darvel Bay dan menembak empat orang British yang berada di situ, mereka merampas dan turut merosakkan enjin Darvel Bay. Beberapa orang lanun telah mara ke darat dan melepaskan beberapa das tembakan.

lanun

Menurut cerita ayah kemudian, waktu itu ayah dan seorang kakitangan Mostyn Estate bersembunyi di balik sebuah batu besar yang agak jauh dari jeti. Tugas mereka adalah untuk menyerang lanun-lanun itu jika mereka lalu di kawasan tersebut. “Mujur bagi kami kerana lanun-lanun itu tidak mara jauh ke darat”, kata ayah menceritakan peristiwa itu. “Mereka cuma masuk merompak kedai-kedai yang berhampiran jeti dan memaksa orang-orang di situ memunggah hasil rompakan ke kumpit mereka”. Lanun-lanun itu cuba mengambil bot Lucinda kepunyaan Mostyn Estate tetapi gagal menghidupkan enjinnya. Oleh itu mereka merosakkannya. Setelah barang-barang rompakan dipunggah ke kumpit, lanun-lanun itupun mula beredar. Ketika itu mereka melihat sebuah bot milik orang Cina menghampiri jeti. Mereka menahannya dan memaksa semua penumpangnya terjun ke laut.

Itulah serba sedikit cerita tentang penyerangan lanu di Kunak yang masih segar dalam ingatan saya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.