Senarai Tempat Yang Menarik Untuk Dilawati Di Kundasang

Kundasang satu nama yang tidak asing bagi pelancong dan penduduk Sabah khasnya.Jika anda tercari-cari lokasi pelancong yang mempunyai banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi Kundasang adalah pilihan yang tepat untuk anda yang gemarkan alam semulajadi. Di Kundasang terdapat banyak tempat yang boleh dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Berikut merupakan beberapa tempat yang boleh dijadikan destinasi pelancongan anda jika berkunjung ke Kundasang.

kundasang

J.S Nursery Kundasang.
Bagi anda yang meminati tumbuh-tumbuhan dan pokok berbunga, disinilah tempat yang harus anda kunjungi. Para pengunjung boleh membeli seberapa banyak tumbuhan hidup yang anda inginkan. Pusat penanaman tumbuhan ini terletak di pertengahan jalan menuju ke Desa Cattle Dairy Farm, Pusat tananam ini tersenarai sebagai tempat yang menarik di Kundasang. Jika anda berkunjung ke sini, anda pasti akan terpesona dengan keindahan pelbagai jenis bunga yang terdapat di sini. Jika anda berminat untuk membeli bunga disini anda perlu bertanya kepada pakar tumbuhan disini sebelum membuat keputusan pembelian kerana ada sesetangah bunga yang tidak tahan dengan cuaca yang panas. Selain itu, anda juga boleh mengambil gambar kenang-kenangan yang berlatarbelakangkan bunga yang pelbagai jenis dan warna.

Kundasang

Sosodikon (pyramid) Hill, Kundasang.
Bagi anda yang gemarkan aktiviti lasak, maka Sosodikon Hill merupakan tempat yang sangat sesuai untuk anda, disini anda boleh melakukan aktiviti mendaki bersama keluarga atau sahabat handal. Jarak Sosodikon Hill dengan Pekan Kundasang lebih kurang 5 kilometer. Anda perlu melalui jalan yang sama ke Desa Cattle Dairy Farm dan Mount Kinabalu Golf Club untuk sampai ke bukit ini. Bukit ini terletak di sebelah simpang kanan ke Desa Cattle Dairy Farm. Untuk sampai ke pintu masuk bukit sosodikon ini anda perlu berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer. Pendakian yang sebenar mengambil masa selama 20 minit untuk sampai ke puncak bukit dengan berjalan kaki. Untuk masuk ke kawasan ini anda perlu membayar yuran sebanyak RM 3.00 sahaja. Apa yang menanti anda di puncak adalah bukit yang seolah-olah berbentuk piramid. Anda pasti terhibur sepanjang perjalanan kerana kiri dan kanan anda ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan menghijau dan memukau penglihatan.

sosodikon-hill

Strawberry Dan Rose Garden Kundasang.
Jika anda berada di Pekan Kundasang, jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke Strawberry dan Rose Garden Kundasang yang jga merupakan salah satu tempat menarik yang harus dilawati. Kawasan ini berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang, Ranau. Kebun ini agak besar dan luas, anda boleh melihat bagaimana kaedah penanaman strawberry dan buahnya yang sedang masak ranun. Terdapat pelbagai jenis bunga ros berbagai warna yang turut ditanam disini disamping itu, bunga-bunga lain seperti bunga matahari, kaktus, lily dan sebagainya turut ditanam. Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk datang ke kebun buah dan bunga ini, di sini anda boleh memdapatkan buah strawberry yang segar dan anak pokok bunga dengan harga yang berpatutan.

Straberry_garden

Kundasang War Memorial
Sesiapa yang datang ke Kundasang pasti akan melawati tempat yang penuh dengan sejarah ini, tempat ini dikatakan bersejarah kerana tempat ini dibina bertujuan untuk memperingati para pahlawan yang terkorban semasa peperangan berlaku suatu ketika dahulu. Kundasang War Memorial terletak di puncak bukit yang berhampiran dengan Pekan Kundasang. Untuk mengunjungi tempat ini anda boleh berjalan kaki dari Pekan Kundasang. Tempat ini sangat cantik, dihiasi dengan pelbagi jenis bunga dan tumbuhan yang sejuk mata memandang sesuai dengan kawasan tempat in yang sangat sejuk dan nyaman. Jangan lupa bawa kamera bersama anda untuk mengabadikan kenangan anda di Kundasang War Memorial.

War_Memorial_Part

Dream World Resort Kundasang.
Dream World Resort dikenali ramai disebabkan persekitarannya yang begitu mempersonakan terutamanya pada waktu petang. Resort ini berlatarkan Gunung Kinabalu, suasana sekeliling yang ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan menghijau, terletak di lereng bukit serta udaranya yang sejuk dan nyaman melengkapkan lagi daya tarikan di tempat ini. Jika anda menginap di tempat ini, jangan sia-siakan waktu senja anda. Nikmatilah waktu tersebut kerana suasana diwaktu petang dan senja mungkin jauh berbeza dengan apa yang anda pernah alami sebelum ini.Namun begitu, anda perlu membuat tempahan dengan lebih awal disebabkan penginapan di Dream World Resort adalah terhad terutamanya pada musim cuti sekolah.

Dream_World

Arnab Village Kundasang
Arnab Village juga merupakan salah satu tempat yang menarik bagi pencinta haiwan. Taman arnab ini terletak lebih kurang 10 kilometer dari Pekan Kundasang iaitu terletak di perantaraan jalan Kundasang-Ranau. Simpang masuk ke taman arnab ataupun arnab village adalah di Jalan Kibaas Mohimboyon. Di tempat ini, anda boleh menyentuh, mengusap dan mendukung arnab tanpa masa yang ditetapkan. Anda juga boleh memberikan makanan kepada arnab dengan syarat membeli makanan khas yang dijual di kaunter pendaftaran. Anda juga boleh menginap di kawasan ini kerana Arnab Village Kundasang juga menyediakan tempat penginapan berbentuk homestay dengan kadar harga yang sangat berpatutan.

arnab

Desa Cattle Dairy Farm
Desa Cattle Dairy Farm merupaka pusat pelancong yang utama di daerah Kundasang-Ranau. Desa ini terletak lebih kurang 8 kilometer dari Pekan Kundasang, ladang ternakan ini dibuka kepada pelawat untuk melihat sendiri pemprosesan susu lembu. Anda juga boleh membeli susu lembu yang masih segar, makanan atau produk berasakan susu lembu di tempat ini. Selain itu, kawasan persekitaran yang mempersona dengan udara yang segar, nyaman dan sejuk menjadikan kawasan ini menjadi daya tarikan utama di Kundasang. Yuran masuk diperlukan bagi pelawat di pintu masuk utama. Apa yang lebih menarik tentang Desa ini ialah pemandangan dan suasana yang seakan-akan sama di New zealand dan diberi gelaran ‘Little New Zealand in Sabah’. Biasanya, tempat ini amat sesak terutamanya pada waktu cuti sekolah.

Desa_Dairy_Farm

Ladang Teh Sabah
Merupakan satu-satunya ladang teh organik di Kepulauan Borneo dan di dunia. Walaupun suhu di Kundasang agak sejuk namun suhu di ladang teh ini boleh dikatakan agar panas. Tapi apa yang penting adalah ilmu pengetahuan dan pengalaman yang anda boleh dapat apabila melawat ladang teh ini. Ketika berada di ladang teh ini, anda boleh melawat ladang teh organik, melihat pemprosesan teh dan juga membeli pelbagai produk keluaran ladang ini.

Ladang_Teh_Sabah

Kinabalu Private Lodges
Bagi anda yang gemarkan suasana di hutan, bunyi cengkerik dan serangga hutan serta cuaca yang sejuk dan nyaman, maka Kinabalu Private Lodges sangat sesuai untuk anda. Pusat penginapan ini terletak lebih kurang 8.6 kilometer daripada Pekan Kundasang menuju ke Kota Kinabalu. Antaranya aktiviti yang menarik di sini ialah jungle trekking dan juga berbeku bersama rakan ataupun keluarga. Kinabalu Private Lodges terletak berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Kundasang. Tempat ini yang cukup indah, berkabus serta dihiasi dengan bunga-bungaan dan pokok menghijau menambahkan lagi keindahan kawasan pusat penginapan ini.

Hill_lodge

Sungai Moroli Ikan Tagal Kg Luanti
Spa Ikan Tagal yang popular ini terletak lebih kurang 25 kilometer dari pekan Ranau. Aktiviti menarik yang disediakan disini ialah merendam kaki dan memberi makan ikan pelian. Ikan-ikan tagal disini dilatih oleh orang kampung dengan membuat urutan dan mengigit sel-sel mati dari kulit. Dikatakan juga membuat spa urutan ikan ini dapat membantu melembutkan kulit dan masalah psoriasis. Terdapat juga kedai cenderamata, gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman disini untuk mengisi perut yang lapar. Bagi yang belum pernah melalui jambatan gantung, anda berpeluang untuk merasainya disini . Tiket untuk merendam kaki adalah Rm5.00 untuk dewasa ( 13tahun keatas), Rm2.00 untuk kanak-kanak (6-12tahun). Tiket untuk berendam seluruh badan Rm10.00 untuk dewasa dan juga kanak-kanak. Manakala, Tiket untuk pelancong luar negara merendam kaki Rm10.00 untuk dewasa, Rm6.00 untuk kanak-kanak. Dan berendam seluruh badan pula Rm25.00.

ikan_tagal

Terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Kundasang yang belum dinyatakan di atas. Kundasang sememangnya menjadi pilihan nombor satu kepada pelancong yang ingin merasai suasana yang sejuk dan nyaman.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.