Sejarah Dan Asal Usul Pesta Tadau Kaamatan

Setiap majlis atau perayaan yang diadakan mempunyai sebab dan cerita yang tersendiri, begitu juga dengan sambutan Pesta Kaamatan yang di sambut oleh suku kaum Kadazandusun sejak dahulu lagi. Pesta Kaamatan atau lebih dikenali sebagai Tadau Kaamatan merupakan sebuah perayaan khas untuk menghormati “bambazon” iaitu menghormati semangat padi.

pesta tadau

Pesta Kaamatan dalam bahasa Kadazan disebut sebagai ‘Magavau’. Perayaan pesta ini merupakan amalan tradisi turun-temurun oleh suku kaum Kadazandusun. Perayaan Kaamatan ini sudah diamalkan sejak zaman berzaman lagi. Tadau Kaamatan ini akan diadakan setiap kali selesai proses menuai padi sebagai tanda kesyukuran atau penghormatan kepada semangat padi. Pesta Kaamatan ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah iaitu pada tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens yang merupakan Ketua Menteri sabah yang pertama.

Dalam Pesta Kaamatan ini akan diadakan pertandingan nyanyian yang dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, ratu cantik atau lebih dikenali sebagai ‘Unduk Ngadau’ dan pertandingan kraftangan dan kesenian. Selain itu, pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini yang turut memeriahkan lagi suasana pesta ini. Aktiviti yang menjadi tarikan dalam Pesta Kaamatan ini ialah persembahan dan pertandingan tarian Samuzau. Biasanya tarian ini akan ditarikan oleh sekumpulan petani yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. penari-penari ini akan memakai pekaian tradisional mereka yang melambangkan suku kaum Kadazandusun. Tarian ini akan diiringi oleh paluan gong, gerak tari Samuzau ini ialah dengan meletakkan kedua-dua belah tangan separah bahudan dikibar-kibarkan seperti sepasang sayap burung, mereka bergerak mengikut alunan rentak muzik yang dimainkan.

kaamatan

Selain persembahan, hidangan juga turut disediakan pada hari tersebut. Antara hidangan yang menjadi trend semasa perayaan ini dijalankan ialah meminum tapai atau disebut juga sebagai ‘Kinomol’ iaitu sejenis arak masyarakat Sabah. Tapai merupakan salah satu minuman tradisional mereka, tapai diperbuat sama ada dari beras atau dari ubi kayu. Beras atau nasi akan diperam di dalam sebuah tempayam besarselama seminggu manakala ubi kayu pula akan diperam selama dua atau tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses “memberi rasa” kepada tapai tersebut.

Asal usul Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan mengikut cerita lisan yang disampaikan oleh masyarakat tempatan, suatu ketika dahulu Kinoingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak gadis yang cantik bernama Huminodun. Pada ketika itu perkampungan Kadazandusun dilanda kemarau yang sangat teruk, jadi untuk menyelamatkan masyarakat Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang cukup maka Kinoingan dengan rasa terpaksa telah mengorbankan anak kesayangannya Huminodun.

kaamatan

Humonodun dikorbankan dan dikebumikan mengikut adat istiadat masyarakat Kadazandusun. Mengikut cerita lisan yang disampaikan, mayat Huminodun telah bertukar menjadi benih-benih tumbuhan yang kini menjadi makanan asas masyarakat kadazandusun. Salah satu benih dari jasad Huminodun telah menjadi padi, oleh kerana jasad Huminodun mengeluarkan padi, maka wujudlah kepercayaan masyarakat Kadazandusun yang padi tersebut mempunyai semangat yang kini dikenali sebagai ‘Bambarayon’.

Bermula dari peristiwa inilah masyarakat Kadazandusun telah mengadakan Pesta Kaamatan atau pesta menuai seperti yang dapat kita lihat hingga ke hari ini. Perayaan seumpama ini diadakan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi iaitu padi-padi yang telah selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam Ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazan Dusun kepada Penciptanya (Kinorohingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya, Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

pesta_tadau

Walaupun masyarakat Kadazan-dusun hari ini telah menganut agama Kristian dan Islam, namun upacara Bambaazon masih lagi diperingati. Hari ini, masyarakat Kadazandusun yang beragama Kristian dan Islam mengambil kesempatan dari Pesta Kaamatan untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta serta menunjukkan rasa kesyukuran terhadap rezeki yang dianugerahkan kepada mereka.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.