Sejarah Dan Asal Usul Nama Semporna, Sabah

Samporna merupakan sebuah daerah yang besar terletak di dalam negeri Sabah. Semporna merupakan sebuah pulau namun ramai tidak yang menyedarinya. Semporna dikelilingi oleh banyak pulau yang cantik dan dapat menarik minat sesiapa sahaja untuk mengunjunginya terutama kepada pencinta alam sekitar, salah satu pulau yang cantik di daerah ini ialah Pulau Bum-bum. Sungai Pegagau telah memisahkan Semporna dengan wilayah atau daerah lain di Sabah.

Semporna

Terdapat banyak versi yang diceritakan mengenai asal usul nama Semporna. Salah satu versi yang mengatakan nama Semporna berasal dari perkataan Simporna yang bermaksud tempat untuk berehat. NAma Simporna diberikan oleh seorang Gabenor Inggeris iaitu W.m Crocker apabila beberapa orang rakannya termasuk seorang pedagang cina yang bernama Toonah yang menemui daerah tersebut pada masa pertengahan tahun 1887.

Pada suatu ketika yang lalu sebelum penjajahan British, Semporna dikenali sebagai Tong Talun yang bermaksud ‘hujung hutan’ dalam bahasa suku kaum Bajau. Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau merupakan orang yang bertanggungjawab menamakan Semporna dengan nama Tong Talun. Pada ketika itu, daerah Semporna Ini dikelilingi oleh hutan tebal pada awal pertemuannya. Oleh kerana itu kawasan ini telah dinamakan sebagai Tong Talun sebelum ditukar kepada nama Semporna yang membawa maksud ‘Tempat Yang Aman Atau Damai’, nama ini kekal digunakan sehingga hari ini.

Semporna

Mengikut sejarah yang tercatat,daerah Semporna ini pada suatu ketika dahulu berapa di bawah jajahan takluk Kesultanan Sulu yang merupakan sebuah kuasa politik yang besar pada ketika itu. Jajahan takluk Sultan Sulu pada masa itu meliputi sebahagian Filipina (selatan Filipina) dan Borneo Utara. Pada tahun 1876 Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah secara “untuk selamanya dan berkekalan” kepada syarikat milik British iaitu ‘British North Borneo Chartered Company’ sebagai wilayah kuasa urus-tadbir British. Kuasa lain selain British yang pernah datang dan mencuba menakluk Semporna termasuklah Belanda, namun gagal kerana dihalang oleh British yang memerintah ketika itu. Pada tahun 1963, Sabah telah bersatu dengan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia.

Semporna

Sebuah pulau kecil di perairan Semporna iaitu Pulau Umaral (Omadal) telah menjadi titik penting dalam sejarah Semporna. Pulau tersebut menjadi tempat tinggal suku kaum Bajau yang pertama di Semporna. Pada ketika itu, Kaum Bajau menjadikan aktiviti perikanan sebagai aktiviti utama mereka memandangkan kawasan tersebut dipenuhi pulau. Selain Bajau, Semporna juga menjadi tempat tinggal bagi suku kaum Nomad (orang asli) laut atau lebih dikenali sebagai ‘Palauh’. Kaum ini masih wujud di Semporna hingga kini dan boleh dilihat di perairan Semporna. Mereka tinggal di bot-bot tradisi di laut dan sentiasa berpindah-randah dari satu pulau ke pulau yang lain. Kaum palauh hanya akan singgah ke tanah besar Semporna jika memerlukan barangan harian atau sebab kematian. Namun kini sesetengah kaum ini telah bertukar kepada kehidupan moden.

Semporna

Daerah Semporna terkenal dengan kejernihan airnya dan butiran pasir yang memutih di seluruh kawasan tersebut. Terumbu karang, paya bakau dan lambaian pepohanan menambahkan lagi keindahan pemamdangan di Semporna ini. Daerah Semporna memiliki keluasan sebanyak 442 batu persegi dan terbahagi kepada dua kawasan iaitu kawasan Tanah Besar Semporna dan Kawasan Pulau yang dikenali Pulau Bum-bum dan pulau-pulau lain disekitarnya. Selain itu, dearah ini juga berhampiran dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia.

Apa yang menariknya di Semporna ialah disini terdapat 49 pulau yang menjadi tapak kepada 119 buah perkampungan. Parorana di sini bagaikan suatu lukisan yang sangat cantik, kelihatan air-air laut yang sejernih kristal yang berubah-ubah warnanya dari hijau Zamrud kepada hijau tua dan dari warna biru muda kepada biru tua. Dasar lautnya jelas kelihatan dengan terumbu karang, ikan-ikan berwarna-warni dan pasir halus memutih bagai melambai-lambai perasaan anda untuk sama-sama terjun menikmati keindahan alam semulajadi.

Semporna

Di sini terdapat sebuah pekan yang juga dikenali dengan Semporna. Pekan Semporna menyediakan segala kemudahan dari jabatan kerajaan ke syarikat swasta, dari kedai kecil ke gedung perniagaan besar. Bayu laut yang meniup lembut ke muka anda tatkala anda mundar-mandir disini melengkapkan lagi suasana lawatan anda. Di pekan Semporna, anda akan melihat percampuran pelbagai budaya, bahasa dan bangsa seperti bangsa Bajau, Suluk, Melayu, Cina, Kadazan dan ‘Palauh’ hidup harmoni sejak dahulu lagi. Deretan bot-bot penambang, kapal-kapal besar dan perahu-perahu layar tradisional memenuhi ruang gigi airnya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.