Ringkasan Peristiwa Berdarah Di Semporna, Sabah

29 April 1954 merupakan hari yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Semporna, dimana pada hari tersebut mereka melihat pembunuhan kejam, pemerkosaan, rompakan dan keganasan yang dilakukan oleh sekumpulan lanun. Pada hari itu merupakan hari yang paling malang, paling celaka dan paling sial yang pernah dialami oleh masyarakat Semporna yang mengorbankan nyawa dan harta benda. Malah ada yang dicabul kehormatannya, dirogol dan diperkosa. Tarikh pembantaian rakyat semporna ini masih kekal dalam ingatan penduduk yang menyaksikan peristiwa berdarah akibat perbuatan kejam dan ganas mundu-mundu (lanun-lanun) yang entah dari mana datangnya.

jeti-semporna

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com, berikut merupakan yang disampaikan oleh Encik Bullah Ganggal, bekas pegawai polis yang telah bersara dengan pangkat Penolong Penguasa Polia (ASP), semasa kejadian beliau bertugas di balai polis Semporna dengan pangkat Detektif Lans Koperal.

Segalanya bermula pada jam 5.30 petang, pada waktu itu penduduk Semporna sedang berehat setelah berpenat lelah di lautan. Manakala para pemuda mula bermain bola, saya turut berada berhampiran dengan padang bola tersebut. Dengan tiba-tiba terdengar bunyi tembakan tanpa henti dari arah jeti yang tidak jauh dari situ. Keadaan bertukar kacau-bilau dengan orang kampung yang bertempiaran diselangi dengan suara berteriak “mundu! mundu! (lanun! lanun!) cepat lari”

balai-polis-sabah

Melihat keadaan yang kelam-kabut dan serangan mengejut lanun tersebut, Sarjan Sagar Singh telah memerintahkan orang-orangnya untuk bersiap sedia. Beliau telah mengarahkan saya membawa isteri dan anak-anak anggota polis untuk berlindung di balai, ini kerana keadaan di balai diyakini lebih selamat kerana dilengkapi pagar berduri dan senjata api yang boleh digunakan untuk bertahan. Setelah pendapat arahan saya mula menjerit memanggil semua isteri dan anak-anak polis untuk berlindung di balai. Namun begitu, belum sempat isteri-isteri dan anak-anak anggota polis saya tempatkan dibalai, saya melihat dari celah-celah lubang berek yang lanun-lanun lebih kurang dalam 50 hingga 70 orang telahpun hampir dengan balai polis Semporna. Mereka berpecah kepada dua kumpalan, satu kumpulan bergerak ke balai polis satu lagi ke arah bot jabatan hutan.

Diwaktu yang sama juga, Sarjan Sagar Singh yang dibantu oleh orang-orangnya telah melepaskan peluru ke arah lanun-lanun yang begitu ramai. Sarjan Sagar Singh dan orang-orangnya sekali-kali tidak akan menyerah kalah kepada lanun-lanun itu sekalipun terpaksa mengorbankan nyawa. Walaupun mereka dihujani oleh peluru dari balai polis tersebut, mereka telah berjaya memusnahkan alat-alat perhubungan wireless di luar balai itu. Dengan musnahnya alat perhubungan tersebut, maka terputuslah hubungan Balai Polis Semporna dengan Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Batu.

anggota-terkorban

‘Kita mesti pertahankan balai ini hingga ke titisan darah terakhir, biar putih tulang, jangan putih mata’ kata Sarjan Sagar Singh kepada dua orang anggotanya dengan penuh semangat juang. Mereka terus melawan dengan beraninya. Pada masa itu, saya yang ditugaskan untuk melindungi isteri dan anak-anak polis tidak dapat berbuat apa-apa kerana pada masa tersebut saya tidak membawa senjata. Kalaupun saya keluar tanpa senjata tentu saja umpama saya menyerah diri tanpa berlawan. Saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana anggota yang kehabisan peluru ditikam dengan barung (parang) oleh lanun-lanun itu, perutnya ditikam beberapa kali sehingga terburai segala isi perut.

Akhirnya kerana kehabisan peluru dan lanun-lanun yang masih ramai lengkap bersenjata, maka Sarjan Singh dan dua orang anggotanya terkorban. Saya cuba untuk keluar memberi bantuan, tetapi dihalang oleh isteri Sarjan Sagar dan isteri-isteri anggota lain supaya jangan pergi dan lindungi mereka disitu. Sebalik saja Sarjan Sagar dan orang-orang mati, mereka merempuh masuk ke balai tersebut. Bilik radio polis dipecah dan alat-alatnya dimusnahkan. Mereka juga memecahkan bilik besi tempat menyimpan senjata api dan peluru lalu merampasnya. Lanun-lanun semakin mengganas, mereka menggeledah seluruh rumah dan kedai yang ada di pekan Semporna.

tragedi-semporna

Apa yang saya dengar lepas itu ialah teriakan dan jeritan minta tolong oleh mangsa-mangsa lanun-lanun yang jahat itu. Mereka bukan sahaja merompak, mengambil apa sahaja barang-barang berharga, makanan, malah mereka juga merogol wanita dan anak dara. Mereka sungguh kejam dan tidak berkeperimanusiaan langsung. Apakan daya masa itu saya tidak bersenjata dan memikirkan pula keselamatan anak isteri anggota-anggota polis. Saya kesal tidak dapat membantu kawan-kawan saya yang gugur sebagai perwira negara. Lanun-lanun celaka itu telah bermaharajalela selama 3 jam iaitu dari jam 5.30 hingga 8.30 malam di pekan Semporna. Mereka melakukan pelbagai dosa yang tidak dapat diampun, saya tidak tahu dari mana datangnya lanun-lanun itu tapi saya yakin mereka dari seberang (Filipina) dari cara mereka bercakap.

Selama 3 jam Semporna telah menjadi seperti neraka. Lanun-lanun bertindak sewenang-wenangnya kerana tiada siapa berani melawannya. Akibatnya, Semporna musnah seperti diserang garuda, menjadi padang jarak padang tekukur. Setelah lanun-lanun itu puas memuaskan hawa nasfu, mereka segera menghilangkan diri di lautan luas dengan kumpit-kumpit (perahu) yang dilengkapi dengan motosangkut laju. Bila mendapati lanun-lanun itu berlalu, saya dan anak isteri anggota-anggota polis keluar dari tempat persembunyian di berek polis itu. Betapa sedih hati saya melihatkan rakan-rakan saya, Sarjan Sagar, PC Jambuan, PC Gimun terkorban. Mayat mereka yang berlumuran darah itu dipeluk dan ditangisi oleh anak dan isteri masing-masing. Saya turut menitiskan air mata melihatkan peristiwa itu. Hingga hari ini ianya kekal dalam ingatan saya,” ceritanya lagi.

tragedi-semporna

Setelah menguruskan mayat empat orang rakannya beliau terus berbincang dengan Ketua Anak Negeri (Penghulu) Semporna, Panglima Jakarullah yang telahpun tiba di balai bersama-sama orangnya. Dengan bantuan mereka, beliau membuat rondaan di sekitar bandar Semporna untuk mengumpul mayat dan memberi pertolongan kepada orang yang cedera akibat kekejaman lanun-lanun tadi. Hasilnya mereka menemui mayat seorang pegawai hutan British, seorang pekedai Cina (tukang jahit) dan seorang pemuda Bajau Semonul. Mayat-mayat itu dibawa ke balai polis untuk diuruskan.

Pada malam itu beliau dan Panglima Jakarullan serta orang-orangnya mengambil keputusan untuk berjaga dan berwaspada bagi menentang lanun-lanun yang mungkin datang sekali lagi. Petang esoknya, 30 April barulah rombongan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, Mr. Dalimore dan Ketua Polis Daerah (OCPD), Mr.W.R.H. Roberts tiba untuk menyaksikan pekan Semporna yang hampir menjadi padang jarak padang tekukur itu.

tragedi-semporna

Peristiwa ngeri itu amat menakutkan penduduk-penduduk Semporna. Ada di antara mereka yang lari bersembunyi tidak mahu balik ke rumah beberapa hari kerana takutkan lanun mengganas lagi. Seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di Semporna, ketika kejadian itu terus jadi ‘gagap’ hingga ke hari ini kerana terlampau terkejut, tergamam dan ketakutan.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.