Polumpung Melangkap Destinasi Pelancongan Di Kota Belud…

Daerah Kota Belud semakin dikenali ramai, Kota Belud kini telah menjadi salah satu destinasi pelancongan kerana disini terdapat banyak tempat yang menarik. Salah satu tempat yang kini menjadi tarikan kepada pelancong ialah Polumpung Melangkap Camp Site, tempat ini menjadi tarikan disebabkan oleh keindahan alam semulajadinya yang memukau setiap pengunjung yang datang. Polumpung Melangkap ini terletak kira-kira 29 kilometer dari pekan Kota Belud dan terletak di Kampung Melangkap Baru.

Polumpung_Melangkap

Polumpung Melangkap merupakan kawasan sukan dan rekreasi yang sesuai dijadikan tempat meluang masa bersama keluarga dan sahabat handai. Banyak aktiviti yang menarik yang disediakan disini, antaranya seperti berkhemah, mandi-manda, BBQ dan banyak lagi yang boleh anda lakukan.

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabag.com, Melangkap Camp Site telah menyediakan kawasan yang luas dan rata, khas untuk aktiviti perkhemahan. Berkhemah merupakan aktiviti utama disini, anda boleh memilih sama ada untuk membawa sendiri khemah atau anda boleh menyewanya dengan Pusat Pengurusan Melangkap Camp Site. Namun begitu, jumlah khemah untuk disewa adalah terhad, jadi anda dinasihatkan untuk membawa sendiri khemah masing-masing.

perkhemahan_polumpung_melangkap

Selain berkhemah, anda juga boleh bersantai dan mandi-manda bersama keluarga dan sahabat tersayang di sungai Polumpung Melangkap yang merupakan salah satu tarikan utama yang terdapat di Kota Belud. Air sungai yang sangat jernih dan tidak terlalu dalam amat sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak, walaupun begitu ibu bapa tetap dinasihati untuk memantau pergerakan anak masing-masing jika hendak mandi-manda di sungai ini. Pelampung berbentuk tiub tayar juga disediakan untuk pengunjung dan tentunya perlu disewa dengan pihak pengurusan tempat ini jika anda ingin menggunakannya.

Jadi jika anda berhajat untuk berkunjung ke sini jangan pernah lepaskan peluang anda untuk bersantai sambil menikmati pemandangan indah matahari terbenam atau terbit. Suasana yang tenang dan jauh dari kesibukan suasana bandar sudah pasti bukan sesuatu yang merugikan. Anda juga boleh mengabadikan saat-saat ini bersama keluarga dengan mengambil gambar sebagai kenangan.

pemandangan-sunset

Disebabkan tempat ini berhampiran dengan puncak tertinggi Asia Tenggara, Gunung Kinabalu, sudah tentu cuacanya adalah sedikit sejuk terutamanya pada waktu malam. Bagi mereka yang bercadang untuk berkhemah disini, anda perlu membawa baju yang tebal dan juga selimut bagi keselesaan anda sepanjang malam.

Untuk masuk ketempat ini, anda akan dikenakan yuran namun tidaklah terlalu mahal. Bagi mereka yang berumur 13 tahun keatas akan dikenakan sebanyak RM2, manakala bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dikenakan RM1 sahaja dan percuma bagi kanak-kanak berumur bawah 6 tahun. Jika anda bercadang untuk berkhemah, yuran yang dikenakan kepada pengunjung yang berumur 13 tahun dan keatas ialah RM 4 untuk satu malam dan kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah pula ialah RM 2 untuk satu malam.

polumpung-melangkap

Semasa berada di tempat ini pengunjung dinasihati mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan Polumpung Melangkap View Camp (PMVCS). Antara peraturan yang perlu dipatuhi ialah pengunjung perlu atau mesti membayar yuran terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan ini, tidak dibenarkan menangkap ikan, memancing, memburu atau apa juga cara yang mengancam spesis hidupan di kawasan tersebut, tidak dibenarkan menebang atau merosakkan flora dan fauna, membuang sampah sarap di merata-rata tempat dan banyak lagi.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.