Pantang Larang Yang Diamalkan Kaum Murut Suatu Ketika Dahulu.

Kaum Murut merupakan antara kaum mojoriti di Sabah dan merupakan suku kaum yang tertua di Sabah, mereka dipercayai datang dari Annam, Indo-China dan sampai ke Sabah melalui kepulauan Filipina. Perkataan Murut bermaksud dan merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng-lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman Sabah. Kaum Murut biasanya tinggal di beberapa daerah seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan, dan Kinabatangan. Kaum Murut memiliki beberapa adat resam dan pantang larang yang menjadi ikutan dan masih kekal diamalkan. Antaranya adalah seperti berikut.

murut-Sabah

Adat kelahiran, semasa mengandung dan melahirkan tiada sebarang adat resam dan pantang larang khusus yang diamalkan oleh masyarakat Murut. Namun begitu, terdapat beberapa pantang larang yang diamalkan selepas bayi lahir iaitu dari segi pemberian nama. Bagi masyarakat Murut, bayi yang beru dilahirkan tidak akan diberikan nama dengan serta merta bagi mengelakkan sebarang perkara buruk menimpa bayi tersebut. Mengikut kepercayaan terdahulu, kebanyakan nama yang diberikan adalah berdasarkan nama alam semulajadi atau diambil sempena sesuatu peristiwa tertentu yang dirasakan penting. Nama masyarakat Murut juga berkemungkinan kerap ditukar beberapa kali dan kekerapan ini bergantung kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka seperti kerap sakit atau ada orang yang meninggal dunia dan memiliki nama yang sama.

adat-kelahiran-murut-Sabah

Adat dalam perkahwinan, kebanyakan masyarakat Murut berkahwin dalam usia yang masih muda iaitu sekitar 13 tahun bagi anak perempuan dan 15 hingga 18 tahun bagi anak lelaki. Perkahwinan dalam usia muda ini hanya diamalkan oleh orang-orang terdahulu, sekarang anak-anak muda lebih memikirkan masa depan diri dan keluarga dengan pelajaran dan pekerjaaan. Berbalik kepada adat tadi, ibu bapa yang akan bertanggungjawab dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka. Dalam perkahwinan kaum Murut mereka mengamalkan sistem ‘barian’ atau hantaran sampai mati yang bertujuan untuk mengukuhkan pertalian antara keluarga kedua-dua belah pihak. Jika amalan ini tidak diikuti, pengantin lelaki akan menerima hukuman atau risiko yang berat iaitu akan dipisahkan daripada isterinya atas arahan ketua adat.

Terdapat beberapa adat dan pantang larang yang perlu dijauhi oleh pihak pengantin perempuan semasa berangkat ke rumah pengantin lelaki. Antara pantang larangnya adalah seperti berikut, jika cuaca dalam keadaan mendung, pengantin perempuan perlu menangguhkan kepergiannya ke rumah pengantin lelaki sehingga cuaca cerah. Ini kerana mereka percaya bahawa jika pengantin terkena air hujan pada hari pernikahannya akan mudah dijangkiti penyakit. Selain itu, jika berlaku kematian secara tiba-tiba dihari perkahwinan tersebut, keberangkatan pengantin terpaksa ditangguhkan sehingga esok hari, Sewaktu kedua-dua pengantin menuruni tangga dan meninggalkan rumah, mereka akan dilarang untuk menoleh ke belakang dan jika adat ini dilanggar mereka percaya salah seorang keluarga pihak perempuan akan berkahwin dengan keluarga pengantin lelaki.

adat-murut-Sabah

Disamping itu, mengikut adat perkahwinan kaum Murut juga, jika pengantin melalui jalan sungai pengantin mestilah diangkat kerana jika terkena air dibimbangi anak sulung pasangan pegantin tersebut akan mati. Selepas genap seminggu pengantin perempuan berada di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan akan kembali ke rumah ibu bapanya untuk mengambil barang-barang kepunyaannya yang masih belum dibawa ke rumah pengantin lelaki. Setelah beberapa bulan, kedua pengantin akan kembali ke rumah ibu bapa perempuan selama empat hari dan pasangan pengantin ini akan balik semula ke rumah ibu bapa pengantin lelaki untuk menetap di sana buat selama-lamanya.

Adat kematian suku kaum Murut, mengikut kaum Murut adat pengebumian mayak akan dilakukan bergantung kepada punca kematian seseorang itu meninggal. Jika terdapat kematian, keluarga si mati akan memukul gong dengan pukulan tertantu dan sesiapa yang mendengar pukulan gong tersebut perlu menghentikan kegiatannya dengan serta merta. Ahli keluarga yang bertindak sebagai penghantar utusan kematian perlu kembali ke rumah pada hari yang sama jika tidak dipercayai akan ditimpa kecelakaan dan bala.

adat-kematian-murut-Sabah

Mayat akan dimandikan dan dipakaikan pakaian yang bersih dan cantik, pada ketika itu juga ahli keluarga atau saudara perempuan si mati akan meratapi kematian tersebut sebagai tanda kesedihan. Si mati akan disimpan di dalam rumah selama dua hari sebelum dimasukkan ke dalam tajau yang dipanggil bangkalan dalam kalangan masyarakat Murut. Tajau akan diutup dengan kayu dan di atasnya akan dipasang lampu kecil bertujuan untuk menakutkan hantu atau syaitan yang akan mengganggu.

Pada malam keempat mereka akan bersuka ria sebagai tanda menghormati malam terakhir si mati berada di rumahnya dan keesokan harinya tajau mayat akan diusung dengan menggunakan usungan kayu untuk dibawa ke tanah perkuburan.Ketika itu kelurga si mati, terutamanya kaum perempuan akan menangis kerena mereka percaya dengan berbuat demikian, roh si mati akan selamat sampai ke syurga disamping mengucapkan selamat jalan kepada si mati. Bagi sesiapa yang menghantar tajau mayat tersebut, mereka akan dikenakan pantang larang tertentu selama empat hari. Pantang larang juga tidak terkecuali bagi balu si mati di mana dia tidak boleh keluar rumah kecuali atas beberapa sebab-sebab tertentu dan dia juga perlu memotong pendek rambutnya

adat-kematian-murut-Sabah

Itulah merupakan sedikit sebanyak pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Murut suatu ketika dahulu yang mungkin ada sesetengahnya yang masih mengamalkan amalan ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.