Misteri Rumah Agam Jerman Di Kinarut.

Rumah agam ini dikatakan rumah besar yang pertama yang dibina di daerah Papar, Kota Kinabalu iaitu pada sekitar tahun 1910 yang kini menjadi tarikan pelancongan. Namun begitu kehadiran rumah agam ini kian dilupakan oleh masyarakat tempatan dan dibiarkan begitu sahaja. Rumah agam ini merupakan salah satu rumah batu yang tidak banyak bilangannya di Borneo Utara pada ketika itu. Rumah ini pernah dihuni oleh pengurus ladang Kinarut yang bernama W.F.C Asimont, merupakan seorang rakyat Jerman. Kerana memiliki sejarah yang tersendiri, maka rumah ini telah diwartakan sebagai tapak bersejarah pada 22 Ogos 1994.

rumah_agam

Rumah ini dijumpai pada tahun 1990, semasa kerja penerokaan tanah untuk penanaman pokok akasia oleh Lembaga Kemajuan Sabah (SAFODA). Penduduk setempat mengatakan rumah ini dihuni oleh ‘hantu Tinggi’, mereka mendakwa pernah melihat ‘lembaga’ lalu dengan laju dan ada kalanya terdengar suara pontianak bila malam menjelma. Menurut kata penduduk lagi, sesiapa yang berkunjung ke sini pasti akan merasakan keseramannya, merasakan seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang melihat dan mengekori. Pada waktu siang rumah ini akan ditemani dengan bunyi burung yang menambahkan lagi suasana seram.

Namun kini, rumah ini sudah tidak mendapat kunjungan orang ramai lagi tidak seperti awal-awal penemuannya. Mungkin kerana gerun dengan cerita yang menyeramkan yang diceritakan oleh penduduk tempatan. Cerita seram yang diceritakan oleh penduduk tempatan belum diketahui lagi akan kesahihannya. Rumah Agam ini juga dikatakan telah menjadi tempat tinggal binatang berbisa seperti beberapa spesies ular yang berbisa, selain telah menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian.

rumah

Untuk pengetahuan pembaca urangsabah.com, menurut kakitangan Jabatan Muzium Sabah, Helwee Ismail dan Lasumba, bahawa penduduk setempat menggelarkan rumah Agam ini sebagai ‘rumah Tuan Simon. Tuan Simon merupakan nama panggilan yang diberikan oleh penduduk tempatan kepada pemilik rumah berkenaan. Rumah ini ditemui dan diketahui kewujudannya dalam kawasan hutan 25 tahun yang lalu, penduduk mengaitkan rumah ini sebagai rumah yang pertama dibina di Borneo Utara sekitar tahun 1910 hingga 1914. Walaupun kini hanya tinggal rangka, rumah ini jelas menunjukkan ianya seperti sebuah istana yang dibina dengan batu-bata, jubin dan konkrit yang gah suatu ketika dahulu.

Rumah ini dikatakan mempunyai banyak bilik tidur, sebuah bilik rehat, sebuah dapur, pejabat, rumah pekerja dan kandang kuda. Ia turut mencerminkan cara hidup tipikal dalam kalangan pengurus ladang yang lazimnya terdiri daripada orang Eropah pada ketika itu. Satu ketika dulu, orang ramai tidak putus-putus singgah ke rumah besar itu walaupun yang tinggal cuma rangka bangunan, anak tangga, tiang, sebuah kolam dan kononnya, ada bangunan dalam tanah didakwa menjadi terowong ke laut terdekat.

rumah agam

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com, berikut merupakan kisah seram yang pernah dicerita oleh penduduk. Pada masa dahulu ada sebuah rumah dibina berhampiran tapak ini, pekerja yang membina rumah ini telah melihat dua pekerja yang menguruskan rumah agam tersebut. Namun kini rumah yang dibina ini telah ditinggalkan kosong kerana dipercayai diganggu oleh ‘penghuni’ rumah agam tersebut. Kisah seram kedua pula diceritakan oleh orang ramai ada seorang lelaki yang bekerja di situ berakhir dengan masalah mental kerana asyik diganggu.

Manakala ada seorang pekerja lagi berhenti untuk bekerja di situ kerana sering mendengar bunyi rantai besi ditarik. Beberapa kesaksian juga diambil dari beberapa orang yang pernah datang ke kawasan tersebut, ada yang mengalami mimpi buruk setelah membawa pulang sebiji bata dari rumah tersebut. Ada juga beberapa orang yang mencuba untuk duduk di tangga tersebut pada waktu malam tanpa berbual, dan mendengar beberapa bunyi seram dan perasaan gerun selepas setengah jam berada di situ. Ada banyak lagi cerita yang mengaitkan bahawa kawasan ini adalah kawasan berhantu. Namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

kinarut

Ada yang menyatakan rumah itu dimusnahkan oleh syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang memerintah sabah suatu ketika dahulu sebelum 1929. Persoalan kenapa rumah agam ini dirobohkan masih menjadi tanda tanya, ada yang mengatakan ia dirobohkan kerana kejatuhan harga getah, ada juga yang berpendapat rumah ini dirobohkan kerana ianya dibina secara rahsia, tetapi yang pasti ia bukan musnah disebabkan peperangan.

kinarut

Berdasarkan nilai sejarahnya, Kerajaan Sabah mewartakan tapaknya dan kawasan hutan sekitarnya berkeluasan tujuh hektar sebagai tapak bersejarah pada tahun 1994. Sesuai dengan keadaan semula jadi di sekitarnya dengan tumbuhan asal yang subur serta pemandangan laut dan pulau, tapak ini dinamakan Panorama Rumah Besar Kinarut dan dibuka kepada orang ramai mulai April 1995. Walaupun bangunan itu kini seakan-akan dilupakan, nilai sejarahnya kekal dalam simpanan Muzium Sabah. Kawasan sekitarnya yang dulu dikelilingi hutan pokok akasia, kini membangun pelbagai bangunan, antaranya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi (PULAKOP) dan Kompleks Pasukan Gerakan Am (PGA).

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.