Mendaki Bukit Tirig Di Telipok Sabah

Jika anda seorang yang sukakan aktiviti lasak, Bukit Tirig adalah pilihan yang tepat untuk anda, kerana selain mencabar fizikal, anda juga dapat menikmati keindahan alam yang menakjubkan. Mendaki bukit adalah salah satu aktiviti yang boleh anda lakukan. Bukit Tirig terletak di Kampung Lapasan di Telipok, Sabah.

Untuk ke Bukit Tirig anda perlu ke Kampung Lapasan, Telipok berdekatan Gereja Katolik St. Flora dan anda boleh meletak kenderaan anda di kawasan berdekatan dengan gereja tersebut. Dari situ anda boleh berjalan kaki melalui beberapa buah rumah sebelum sampai ke titik permulaan laluan mendaki ke puncak Bukit Tirig.

Bukit Tirig

Laluan mendaki Bukit Tirig di Kampung Lapasan ini sebenarnya telah dibuat oleh penduduk kampung untuk laluan upacara Jalan Salib mereka. Kemudiannya atas permintaan orang ramai laluan ini dibuat sehingga ke puncak untuk orang ramai mendakit bukit tersebut dengan selamat dan menikmati keindahan kawasan sekitar dari puncak Bukit Tirig.

Perjalanan untuk sampai kepuncak mengambil masa 15 hingga 20 minit bergantung kepada ketahanan fizikal dan stamina pendaki. Laluan ke puncak Bukit Tirig sering dibersihkan oleh penduduk kampung untuk keselamatan pendaki dan untuk upacara Salib. Laluan ini tidak begitu curam dan tidak begitu mencabar ianya sesuai untuk pelajar dan juga kanak-kanak.

Bukit Tirig

Menjelang sampai ke puncak Bukit Tirig, anda boleh melihat bendera Persekutuan Malaysia dan Bendera Negara Sabah berkibar dengan megah menghilangkan kepenatan anda mendaki dan menimbulkan keinginan untuk segera sampai ke puncak.

Jika anda melihat tayar besar tergantung dengan tulisan ‘TIRIG HILL’ di puncak, itu bermakna anda sudah sampai ke puncak Bukit Tirig. Suasana udara dipuncak ini agak nyaman dan sejuk. Di pertengahan laluan mendaki anda akan melalui kawasan yang agak redup kerana dilitupi pokok-pokok besar.

Kawasan puncak bukit ini amat bersih dan luas. Tempat ini sering dibersihkan oleh peniaga-peniaga minuman ringan di puncak bukit ini. Jika anda tidak ada membawa air minuman, anda tidak perlu risau kerana minuman ada dijual dipuncak ini pada sebelah petang.

Bukit Tirig

Jika anda gemar aktiviti lasak, mendaki Bukit Tirig adalah salah satu aktivi luar (outdoor activity) yang boleh anda buat. Kawasan ini memang selamat dan penduduk Kampung Lapasan sentiasa memantau keselamatan dan laluan ini sepanjang masa.

Pemandangan dari atas puncak Bukit Tirig memang cantik dan udaranya juga amat nyaman. Kepenatan anda mendaki akan berbaloi dengan pemandangan yang indah. Anda boleh mengambil gambar matahari terbit atau terbenam dari puncak bukit ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.