Makanan Tradisional Masyarakat Bajau

Masyarakat Bajau merupakan salah satu suku kaum majoriti di Sabah. Masyarakat Bajau terbahagi kepada beberapa kumpulan antaranya Bajau Samah yang menetap di bahagian pantai barat Sabah dan Bajau yang menetap di bahagian pantai timur Sabah. Kaum Bajau kebanyakannya tinggal di daerah Putatan, Tuaran, Kota Marudu, Kota Belud dan Papar manakala, kaum Bajau pantai timur Sabah boleh didapati di sekitar Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

bajau_village

Setiap kaum yang terdapat di dunia ini mempunyai kelebihan dan keunikan tradisi dan adat yang tersendiri yang menjadi lambang pengenalan kaum mereka kepada masyarakat luar. Kaum Bajau mempunyai beberapa makanan tradisi yang unik dan berlainan dengan kaum lain antaranya ialah:

Putu.
Putu merupakan makanan yang agak popular dalam kalangan masyarakat Bajau di daerah Semporna. Makanan ini berasaskan ubi kayu yang sudah diparut dan diperah airnya, putu akan dimasak stim atau dikukus. Masyarakat Bajau lazimnya menjadikan putu sebagai makanan asas menggantikan nasi. Putu biasanya dimakan dengan sagol, kima, tayum, tehek-tekeh dan juga dengan ikan bakar. Ada yang mengatakan rasanya seperti ubi kayu yang dicampur dengan tepung, ianya sedikit kental dan melekit dan selalunya akan dibungkus. Gabungan antara putu dengan makanan laut dikatakan mampu membuka selera makan bagi mereka yang hilang selera.

putu_bajau

Tompek Atau Tinompek.
makanan ini sama seperti putu yang berasaskan ubi kayu. Beza tompek dengan putu adalah cara memasaknya. Ubi kayu yang sudah dibersihkan dan diparut akan digoreng tanpa menggunakan minyak sehingga warnanya menjadi kekuning-kuningan. Makanan ini juga dikenali sebagai aggang oleh etnik Bajau di Semporna.

Sagol Atau Senagol.
Makanan ini merupakan isi ikan yang dimasak kunyit, biasanya hanya beberapa jenis ikan sahaja yang boleh dimasak sagol iaitu ikan yu, pari, kihampau, buntal, tombad dan lain-lain. Lazimnya ikan akan dicelur atau dimasak separuh masak bagi memudahkan isi ikan dihancurkan. Hati ikan akan dihancurkan dan minyak hati ikan inilah yang memberi rasa kepada makanan ini. Masakan ini dibahagikan kepada dua iaitu berkuah dan tidak berkuah. Sagol selalunya dimakan bersama keluarga ketika berkumpul menyambut perayaan.

sagol_Bajau

Kima
Kima adalah sejenis kerang laut yang menyelit di celah-celah permukaan batu. Makanan ini agak popular di daerah Semporna. Ianya boleh dimakan mentah setelah dihiris atau dipotong kecil-kecil dan dicampur dengan perahan limau serta rempah ratus yang lain mengikut selera orang yang hendak makan. Kima pula boleh didapati dalam keaadaan basah dan juga yang sudah dikeringkan. Kima merupakan sejenis kerang laut dan terbahagi kepada beberapa spesis, antaranya ialah lapiran, bohe’ dan sollot-sollot (bersaiz kecil dan menyelit di celah-celah permukaan batu). Kima dijadikan lauk dalam makanan tradisi kaum Bajau.

kima_Bajau

LATO’
Latok atau gelaran yang diberi “Anggur Laut” merupakan sejenis tumbuhan laut menyerupai anggur berwarna hijau yang kecil saiznya. Latok boleh didapati di mana-mana pasar di Sabah dan juga dihidangkan di mana-mana restoran seafood di Sabah. Rasanya yang sedikit masin enak dimakan bersama sambal, ikan bakar dan nasi yang masih panas. Tumbuhan laut perlu dielakkan dari terkena cahaya matahari agar ianya tidak layu. Apabila Latok layu, rasanya akan menjadi tidak sedap.

anggur_laut

Terdapat banyak lagi makanan tradisional masyarakat Bajau yang belum disenaraikan. Makanan masyarakat Bajau sememangnya banyak dan unik namun, rasanya sangat sedap.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.