Lagenda Tinagat, Kepercayaan Masyarakat Tidung

Pantai Batu Payung atau Tinagat mempunyai kisah lagenda yang tersendiri yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat setiap kali lagenda ini diceritakan. Cerita lagenda ini diceritakan dari mulut ke mulut sejak bertahun-tahun lamanya. Pada tahun 90-an Pantai Batu Payung atau lebih dikenali sebagai Tinagat merupakan sebuah tempat perkelahan yang cukup menarik. Pantai Batu Payung merupakan pantai yang sangat indah dengan pemandangannya dan cukup bersih dan merupakan satu-satunya pantai yang terindah di daerah Tawau.

tiganat

Ramai generasi kini, berkemungkinan tidak tahu akan kewujudan Batu Payung dan di manakah tempatnya. Jadi sememangnya tidak dinafikan bahawa ramai anak muda yang tidak tahu akan lagenda di sebalik Tinagat yang sangat berkait rapat dengan Sungai Sibuku di Indonesia.

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, pada suatu ketika dahulu tinggal seorang pemuda bersama ibubapanya di sebuah perkampungan yang banyak menghasilkan padi dan merupakan pengeluar padi yang utama di daerah Tawau. Penduduk di kampung ini saling bergotong-royang menaman padi dan menuainya.

Pada suatu petang, pemuda berkenaan menghabiskan masanya dengan bersiar-siar di pantai yang berdekatan dengan tempatnya. Pada petang tersebut keadaan cuaca tidak berada baik, angin bertiup sayu dan hujan gerimis (hujan panas). Ketika sedang berjalan-jalan di persisiran pantai, tiba-tiba pemuda tersebut mendengar suara perempuan ketawa dan bergurau senda.

Si pemuda yang memiliki rasa ingin tahu yang membuak-buak, mengikut arah datangnya suara tersebut dan apabila sampai di tempat berkenaan terlihat olehnya tujuh orang puteri yang sedang asyik mandi-manda. Mengikut cerita ketujuh-tujuh puteri tersebut berasal dari kayangan atau dikenali sebagai ‘Jula Juli Bintang Tujuh’.

Melihat kecantikan dan keindahan rupa paras sang puteri tersebut, pemuda berkenaan berniat untuk memiliki salah satu dari tujuh puteri itu dan tanpa berfikir panjang pemuda berkenaan mengambil salah satu persalinan pakaian puteri tersebut yang diletakkan di atas batu berhampiran tempat mereka mandi.

Persalinan pakaian yang diambil oleh pemuda tersebut dikatakan milik puteri bongsu dari tujuh puteri berkenaan. Setelah selesai mandi-manda ketujuh-tujuh puteri berkenaan memakai baju masing-masing tapi malangnya pakaian puteri bongsu tidak dijumpai walaupun sudah puas mereka mencarinya. Jambatan yang menghubungkan tempat tinggal mereka dengan bumi pula hampir hilang kerana jambatan tersebut adalah pelangi tujuh warna.

Akhirnya dengan berat hati dan perasaan sedih puteri bongsu terpaksa ditinggalkan di bumi kerana tidak dapat terbang untuk pulang ke kayangan. Si pemuda yang menyaksikan puteri berkenaan ditinggalkan seorang diri terus bergegas pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari pantai tersebut dan kembali lagi dengan sepasang baju milik ibunya untuk diberikan kepada puteri tersebut.

puteri tujuh

Kerana hari semakin senja, pemuda berkenaan memutuskan untuk membawa puteri tersebut pulang ke rumahnya, sesampai sahaja di rumahnya keluarga pemuda berkenaan terkejut melihat kecantikan dan keindahan paras rupa sang puteri. Keluarga pemuda tersebut bertanya dan mendesaknya untuk menceritakan di manakah dia menemui puteri yang cantik jelita berkenaan. Setelah didesak beberapa kali barulah pemuda berkenaan memceritakan perkara yang sebenar tentang apa yang telah dia lakukan.

Bermula dari situ, setiap hari rumah pemuda berkenaan dikunjungi oleh ramai penduduk kampung untuk melihat sendiri kecantikan dan kejelitaan puteri yang menjadi buah mulut orang kampung berkenaan. Tidak beberapa lama selepas itu, pemuda berkenaan mengahwini sang puteri kayangan kerana desakan keluarga dan masyarakat kampung yang beranggapan lelaki dan perempuan tidak boleh tinggal bersama dalam jangka masa yang panjang tanpa apa-apa ikatan.

Hasil perkongsian hidup pemuda dan puteri itu, maka mereka telah dikurniakan seorang anak setelah setahun usia perkahwinan mereka. Sejak kehadiran puteri kayangan itu di kampung pemuda tersebut, hasil tuaian padi menjadi berlipat kali ganda dan sebagai tanda kesyukuran dengan hasil tuaian penduduk kampung, penghulu kampung berkenaan mencadangkan untuk mengadakan pesta kesyukuran menuai padi.

Masa pesta pun sudah tiba, semua penduduk kampung datang untuk memeriahkan acara yang diadakan. Atas desakan penghulu dan keluarga pemuda berkenaan yang mahukan puteri tersebut menari di majlis tersebut, si puteri pun menerima ajakan tersebut dengan satu syarat iaitu si pemuda mestilah mengembalikan pakaian yang telah diambil untuk dipakainya ketika dia menari di majlis tersebut.

Puteri itu pun mula menari dengan limbayan yang lembut gemalai. Tanpa disedari oleh sesiapa pun kaki sang Puteri itu pun mula terangkat dari lantai pentas tari tersebut. Akhirnya puteri itu tidak dapat turun lagi dan pesta itu menjadi huru-hara apabila puteri tersebut semakin lama semakin tinggi meninggalkan bumi.

puteri tujuh

Pemuda itu pun terus mengejar isterinya sehingga dikatakan pemuda tersebut berdiri di atas batu berpayung iaitu “BATU PAYUNG” ketika pemuda tersebut terus merayu agar isterinya turun. Tetapi apakan daya, puteri itu sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk turun ke bumi. Pemuda itu pun mengambil keputusan untuk menebang batu yang berbentuk payung itu dengan harapan isteri kesayangannya itu dapat turun, namun setelah batu itu tumbang puteri berkenaan terus terbang.

Dengan sedih, puteri itu sempat memberikan kata-kata akhir kepada suaminya (pemuda), “tolonglah jaga anak kita itu baik-baik, kalau dia menangis bawalah dia ke Sungai Sibuku”. Akhirnya puteri itu terus terbang meninggalkan pemuda itu, dan pemuda itu pun kembali ke kampungnya dengan kekecewaan.

Begitulah cerita lagenda Tinagat yang mempunyai kaitan dengan Sungai Sibuku, yang difahamkan dan pernah diceritakan oleh penduduk kampung Sungai Sibuku, satu ketika Sungai Sibuku tersebut berumbak tujuh lapis dan batu payung itu kini hanya tinggal tunggulnya sahaja.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.