Lagenda Solungkoi dan Jambatan Tamparuli.

Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam kawasan Tuaran, Sabah dan kebanyakan penduduknya dari suku kaum Dusun. Namun begitu terdapat juga suku kaum lain yang tinggal di kawasan tersebut. Di Tamparuli terdapat sebuah jambatan yang berusia puluhan tahun, menurut maklumat dan cerita yang disampaikan oleh penduduk setempat terdapat satu kisah disebalik pembinaan awal Jambatan Tamparuli.

jambatan_tamparuli

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com, terdapat sebuah kisah lagenda disebalik pembinaan jambatan Tamparuli, kisah lagenda ini bermula pada tahun 1950 atau lebih tepatnya ketika pembinaan jambatan baru sahaja dimulakan. Ketika kerja-kerja jambatan baru saja dimulakan, seorang pegawai British yang bernama Robinson ditugaskan untuk menguruskan kerja-kerja pembinaan tersebut telah jatuh cinta kepada seorang gadis tempatan yang rupawan bernama Solungkoi.

Solungkoi merupakan seorang gadis Dusun yang sangat cantik, kecantikannya tiada tandingan. Kecantikan Solungkoi telah menyebabkan Robinson jatuh cinta pandang pertama padanya. Dalam masa yang sama, seorang jejaka tempatan bernama Intang secara diam-diam turut menyimpan rasa terhadap Solungkoi. Namun malangnya Solungkoi lebih memilih Robinson sebagai kekasihnya, mungkin kerana Robinson lebih tampan dan berpangkat berbanding Intang yang hanya pekerja sebagai kuli Robinson.

jambatam_tamparuli

Pada ketika itu kerja-kerja pembinaan jambatan sementara Tamparuli sedang giat dijalankan oleh Robinson, beliau pengawai yang bertanggungjawab untuk menyiapkan projek pembinaan tersebut. Namun begitu, pembinaan jabatan ini sering kali gagal dan bermasalah, jambatan yang dibina mudah runtuh dan roboh setiap kali dilanda banjir besar. Robinson mula bimbang kerana dia yang ditugaskan untuk memastikan pembinaan jambatan tersebut berjalan dengan lancar, tambahan lagi tanpa jambatan itu akan menyukarkan pihak British dan penduduk setempat untuk berhubung dengan dunia luar.

Suatu hari Robinson telah mengarahkan Intang untuk mencari punca kenapa jambatan tersebut tidak dapat bertahan lama dan sering kali runtuh, pada masa itu, penduduk masih percaya kepada benda-benda ghaib seperti Tombuakar (hantu air). Intang kemudiannya telah berjumpa dengan Odu-odu (wanita tua) yang merupakan seorang bomoh yang arif dalam ilmu ghaib dan bidang pemujaan (mengubati orang sakit dan menghalau hantu yang mengganggu). Odu-odu yang dapat mengenal pasti masalah tersebut, memberitahu Intang yang kononnya Tombuakar marah kerana tapak pembinaan jambatan tersebut telah mengganggu kawasan tempat tinggalnya.

Jambatan

Setelah mengetahui puncanya, Odu-odu menyarankan agar mereka melakukan satu upacara sebagai tanda memohon maaf atas kerosakan rumah Tombuakar. Namun, setelah upacara dilakukan seperti yang diarahkan oleh Odu tersebut, pembinaan jambatan masih bermasalah. Setelah disiasat lagi, rupanya Tombuakar mahukan nyawa seorang sumandak (gadis) cantik sebagai temannya di dalam air. Tiada gadis lain yang lebih cantik dan rupawan selain Solungkoi, si Odu tidak sanggup untuk mengorbankan Solungkoi yang tidak berdosa. Namun, kerana cemburu dan dendam Intang terhadap Solungkoi kerana menolak cintanya telah menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi, ini membuatkan Robinson binggung antara jambatan ataupun cintanya dikorbankan untuk Tombuakar. Robinson akhirnya memilih untuk mengorbankan cintanya Solungkoi demi tugasnya, demi jawatannya dan demi jambatan Tamparuli.

Satu pesta keramaian telah diadakan secara besar-besaran untuk meraikan pembaikan jambatan Tamparuli tapi ini semua hanyalah tipu muslihat Robinson untuk memerangkap Solungkoi dan juga untuk menghabiskan saat-saat terakhir sebelum Solungkoi dikorbankan. Pada malam itu, Robinson dan Solungkoi serta semua orang kampung berpesta minun tapai (minuman memabukkan), Solungkoi yang sudah mabuk dan tidak sedarkan diri dibawa ke jambatan. Apabila Solungkoi sedar dari mabuk dia mendapati dirinya telah diikat dan digantung untuk diturunkan ke dalam cerucuk jambatan. Ini kerana syarat Tombuakar yang mahukan mangsanya ditanam hidup-hidup dibawah jambatan tersebut.

jambatan

Solungkoi mula menangis dan merayu agar dilepaskan, tapi malangnya tangisan dan rayuan Solungkoi tidak didengari kerana semua penduduk sudah mabuk. Solungkoi akhirnya pasrah dengan nasib yang menimpanya, Solungkoi sempat membuat permintaan terakhir kepada Tombuakar yang sedang menunggunya di dalam air dengan bersumpah bahawa jambatan Tamparuli tidak akan kukuh selagi tidak mengorbankan Robinson. Robinson yang mula sedar dari mabuk amat menyesal dengan tindakannya mengorbankan kekasihnya dan bagi mengenang kekasihnya, Robinson telah mengukir nama Solungkoi di atas sekeping plat besi dan melekatkannya di cerucuk jambatan di mana Solungkoi ditanam. Setelah itu, ada yang mengatakan bahawa Robinson telah membunuh diri dengan membiarkan dirinya dilemaskan oleh Tombuakar.

jambatan

Ada yang mengatakan bahawa cerita ini hanyalah mitos, namun seperti yang disahkan oleh orang-orang yang pernah menyelam di bawah jambatan Sungai Tamparuli, plat besi terukir nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, lokasi tepat dimana plat itu dilekatkan telah dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan. Yang pasti, selepas lebih 60 tahun, Jambatan Tamparuli tetap utuh dan kekal digunakan oleh penduduk kampung.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.