Lagenda Nunuk Ragang Kepercayaan Kadazandusun

Bagi suku kaum Kadazandusun, mereka percaya beberapa lagenda dan cerita mitos mengenai asal usul mereka. Walaupun terdapat banyak cerita lagenda mengenai asal-usul keturunan mereka, mereka tetap percaya bahawa mereka berasal daripada keturunan ‘Nunuk Ragang’ yang bermaksud ‘Pokok Ara Berwarna Merah’. Perkataan Nunuk sama erti dengan ‘Pokok Kayu Ara’ manakala Ragang mempunyai maksud ‘Merah’. Nunuk Ragang merupakan sesuatu mitos yang sangat berkait rapat dengan masyarakat atau kaum Kadazandusun.

Lagenda-Nunuk-Ragang

Melalui beberapa kajian telah telah dijalankan oleh beberapa pengkaji budaya, mereka telah berjaya membongkar tentang asal usul keturunan Kadazandusun. Masyarakat Kadazandusun percaya bahawa nenek moyang mereka berasal dari satu tempat yang bernama Nunuk Ragang yang bermaksud ‘Pohon Ara Berwarna merah’. Tempat ini dikatakan terletak di satu kawasan hulu Labuk yang sekarang terletak di dalam daerah Ranau.

Berhampiran dengan kawasan Nunuk Ragang terdapat dua batang sungai iaitu Sungai Liwagu dan Sungai gelibang. Sungai-sungai ini mengalir ke arah Tambuan dan Ranau. Sungai ini merupakan laluan utama perpindahan masyarakat Kadazandusun ke seluruh pelusuk Sabah. Mengikut cerita yang disampaikan pokok ara tersebut adalah sebesar enam pemeluk manusia dewasa. Di bawah pokok ini dapat dibina sebanyak tujuh pondok kecil masyarakat Kadazandusun yang bersaiz 240 kaki persegi.

Pokok ara merah ini dikatakan akarnya mengeluarkan sejenis getah yang berwarna merah yang dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Penduduk Kadazandusun di kawasan ini semakin bertambah seiring dengan bertambahnya masa menyebabkan mereka kekurangan sumber makanan. Ketua masyarakat Kadazandusun memerintahkan pahlawan-pahlawan handal mereka untuk mencari dan membuka penempatan baru yang lebih sesuai, bermula dari sinilah berlakunya penghijrahan beramai-ramai yang kini menyebabkan masyarakat Kadazandusun terdapat di mana-mana kawasan negeri Sabah.

Lagenda-Nunuk-Ragang

Cerita mengenai keturunan dan asal usul masyarakat Kadazandusun mempunyai banyak versi yang menjadi kepercayaan masyarakat Kadazandusun antaranya adalah seperti berikut. Menurut cerita yang disampaikan di kawasan Nunuk Ragang terdapat seekor ayam jantan yang mempunyai kuasa sakti. Pada suatu hari ketika penduduk asal Nunuk Ragang sedang menanam padi, mereka terdengar suara manusia dari bawah tanah meminta tolong. Penduduk yang mendengar suara itu mula mencari dan meminta tolong ayam jantan sakti untuk mengeluarkan mereka dari dalam tanah tersebut.

Manusia bawah tanah dikenali dan disebut sebagai ‘Minoriti’ oleh masyarakat Kadazandusun. Namun begitu, penduduk Nunuk Ragang telah tersalah menolong orang kerana setelah ditolong golongan Minoriti tersebut ingin menduduki penempatan penduduk kampung, lalu golongan Minoriti tersebut telah menghalau dan mengusir masyarakat Kadazandusun dari kawasan tersebut. Masyarakat Kadazandusun melarikan diri ke tempat lain seperti ke Kudat, Ranau, Penampang dan sebagainya. Ayam jantan sakti menetap di keningau bersama ketua masyarakat Kadazandusun, sehinggalah ayam jantan sakti itu meninggal. Pokok Nunuk Ragang pula ditebang oleh golongan Minorit yang juga dikenali sebagai golongan Tampias yang sehingga kini masih lagi dikenali.

Orang-bawah-tanah

Mengikut versi lain pula, kawasan di mana terdapatnya Nunuk Ragang itu dipenuhi oleh hutan belantara yang hanya didiami oleh binatang-binatang buas dan liar. Pada masa itu, terdapat seekor ayam jantan yang sangat besar. Dikatakan ayam jantan ini sebesar kerbau yang tinggal di sana, ayam jantan tersebut dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa. Menurut cerita yang disampaikan, pada suatu hari ayam jantan tersebut mengais-ngais tanah untuk mencari makanan, namun dengan tiba-tiba terkeluarlah seorang anak muda yang cukup tampan dari bawah tanah. Ayam jantan terus mengais-ngais dan mencakar tanah tersebut dan tidak lama kemudian keluarlah pula seorang gadis yang sangat cantik dan jelita. Kedua-dua manusia ini diambil dan dijaga oleh ayam jantan tersebut dan selepas beberapa seketika, kedua manusia itu dikahwinkan, hasil dari perkahwinan itu, lahirlah beberapa orang putera dan puteri. Keturunan mereka akhirnya beranak pinak dan berkembang biak, merekalah yang mendiami kawasan yang pada mulanya tiada manusia yang tinggal disitu.

Lama-kelamaan tempat itu, menjadi semakin ramai dengan penghuninya, keturunan manusia yang ditemui oleh ayam jantan itu disebut dan dikenali sebagai ‘Orang-orang Nunuk Ragang’ yang dipercayai oleh masyarakat Kadazandusun sebagai nenek moyang dan asal usul keturunan mereka. Lelaki pertama yang muncul dari bawah tanah itu telah dilantik oleh ayam jantan sebagai penghulu di tempat itu, pemuda tersebut memerintah dengan adil dan aman atas bantuan ayam jantan tersebut. ayam jantan berkenaan menjadi pelindung kepada manusia yang tinggal disitu. Tempat ini akhirnya dinamakan Nunuk Ragang diambil sempena nama pokok ara merah yang istimewa itu. Nunak Ragang dari hari ke hari kian bertambah maju dan penduduknya semakin ramai. Di sekitarnya terdapat beberapa batang anak sungai dan ini menjadikannya suatu kawasan pertanian yang subur. Sejak itu, hiduplah penduduk-penduduk Nunuk Ragang dalam suasana aman dan damai buat beberapa lama.

suasana-nunuk-ragang

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, versi lagenda Nunuk Ragang akan disambung dalam artikel ‘Lagenda Nunuk Ragang Kepercayaan Kadazandusun II. Nantikan sambungannya untuk mengetahui kesudahan lagenda masyarakat kadazandusun

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi urangsabah.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.