Lagenda Gunung Kinabalu

Setiap gunung yang terdapat di dunia ini mempunyai cerita lagenda yang tersendiri, yang tidak akan lenyap ditelan zaman. Gunung Kinabalu juga menpunyai sejarah dan cerita yang mistik dan unik tersendiri yang mana cerita ini telah berubah menjadi mitos atau lagenda kerana diceritakan dari generasi terdahulu melalui lisan.

gunung kinabalu

Terdapat pelbagai versi kisah mistik dan unik di Gunung Kinabalu seperti mana gunung-gunung tinggi yang terdapat di dunia ini yang memiliki sejarah yang tersendiri. Mengikut cerita Kaum Kadazandusun yang tinggal berhampiran dengan Gunung Kinabalu, mereka mengatakan bahawa mereka adalah penjaga dan pelindung Gunung Kinabalu sejak sekian lama.

Menurut kepercayaan kaum Kadazandusun, mereka percaya bahawa roh nenek moyang mereka berada dan sedang berehat-rehat di sekitar dan di puncak Gunung Kinabalu. Mengikut cerita dari kaum Kadazandusun lagi, dunia dan Gunung Kinabalu telah dicipta oleh dewa tertinggi, cerita ini bermula dari cerita mitos naga yang menjaga harta karun mutiara.

Apabila anda berada di puncak-puncak Gunung Kinabalu, anda akan dapat merasakan kesahihan cerita ini. Jika anda berada di puncak gunung, dalam suasana sunyi sepi akan kedengaran angin yang bertiup sayu dan kuat. Ditambah lagi dengan awan yang bergerak perlahan dan keadaan iklim yang lembab. Di puncak gunung Kinabalu terdapat banyak lopak-lopak air dan telaga semulajadi.

Menurut kaum Kadazandusun di tempat inilah roh-roh nenek moyang mereka bermain air dan mandi-manda. Di sini juga dijadikan sebagai tempat untuk membuang sial bagi segelintir masyarakat yang digelar Bobohizan dengan mencuci badan mereka dan mengambil air tersebut untuk diminum sebagai penawar.

gunung kinabalu

Kini lopak-lopak air itu dijadikan sebagai kolam harapan (wishing well) untuk para pendaki yang mendaki di Gunung Kinabalu, para pendaki biasanya akan membaling duit syiling ke dalam kolam harapan tersebut sebagai suatu cara untuk menghormati roh-roh nenek moyang kaum Kadazandusun supaya tidak mengganggu mereka ketika mendaki dan turun.

Mengikut cerita lisan yang disampaikan dari turun temurun, di dasar Gunung Kinabalu terdapat Raja gergasi yang bernama “Gayo Nakan” (kuat makan). Raja gergasi ini telah mengarahkan penduduk setempat untuk menyediakan makanan kepadanya. Rakyat tempatan terpaksa mengikut arahan tersebut kerana gergasi itu merupakan Raja mereka. Tetapi lama-kelamaan rakyatnya tidak lagi mampu menyediakan makanan kepada Gayo Nakan yang pelahap itu.

pembentukan gunung

Gayo Nakan yang mendengar rintihan rakyatnya berasa simpati dan bersedia berkorban demi kesejahteraan mereka, Gayo Nakan pun mencadangkan agar rakyatnya menaman beliau di puncak gunung Kinabalu. Semua rakyat jelata bersetuju dan membawa semua peralatan mereka ke puncuk gunung kinabalu untuk membuat lubang, tatapi usaha mereka hanyalah sia-sia kerana permukaan gunung yang keras sehingga mereka merasa putus asa. Setelah melihat keadaan itu, Gayo Nakan pun melafazkan kata-kata sakti, maka tenggelamlah beliau hingga ke paras bahu di puncak gunung tersebut.

Sebelum tenggelam Raja Gergasi sempat berkata kepada semua penduduk yang hadir, bahawa mereka akan dilanda kemarau dan kebuluran yang berpanjangan disebabkan oleh sikap mereka yang kurang bersabar dan cepat mengalah. Gayo Nakan telah berjanji kepada mereka , bahawa dia akan menolong mereka di dalam peperangan. Setelah itu, rakyat rasa bersalah dan menyesal terhadap apa yang mereka lakukan dan mereka berjanji akan melakukan upacara pengorbanan di kolam berdekatan puncak gunung Kinabalu.

kinabalu

Datuk Gunting Lagadan merupakan orang pertama yang berjaya menawan puncak gunung Kinabalu pada 7 mac 1851. Beliau mengambil masa selama tiga minggu untuk sampai ke puncak gunung. Gunting Lagadan mendaki gunung tersebut bersama sama dengan Sir Hugh Low, seorang pegawai British dari Labuan.

Baru-baru ini dikatakan telah berlaku gempa di gunung kinabalu dan suatu pembentukan telah terjadi di puncak gunung tersebut yang dikatakan pembentukan tersebut menyerupai Datuk Gunting Lagadan. Sebuah rumah persinggahan juga dinamakan sempena namanya sebagai penghormatan. Rumah itu terletak di Lata Raban. Imej yang terbentuk di permukaan gunung berkenaan dikatakan adalah Aki Nabalu yang mana ia merupakan nama gunung itu dalam bahasa Dusun.

Terdapat juga kisah yang diceritakan oleh penduduk setempat bahawa nama gunung Kinabalu ini diambil sempena kesetiaan seorang isteri yang menunggu kepulangan suaminya. Dikatakan pada zaman dahulu terdapat seorang putera dari kerajaan China yang pergi berlayar, tapi malangnya kapal putera tersebut dihentam ombak kuat lalu putera raja itu hanyut di bawa arus. Putera raja tersebut telah diselamatkan oleh ketua kampung dan penduduk kampung yang tidak diketahui lokasinya.

Putera tersebut telah dirawat oleh keluarga ketua kampung, setelah sembuh putera telah jatuh hati kepada anak gadis ketua kampung dan mereka dikahwinkan. Setelah itu, putera tersebut ingin pulang ke kerajaannya dan berjanji dan pulang semula untuk menjemput isterinya.

gunung kinabalu

Sejak itu, setiap hari isteri putera raja itu akan mendaki ke puncak gunung untuk menanti kepulangan suaminya yang dikasihi. Akan tetapi hari demi hari tidak juga bayang suaminya kunjung tiba. Sehinggalah isteri putera raja tersebut mati di puncak gunung itu.

Penjaga gunung sangat kasihan pada isteri putera raja itu, lalu telah menyumpahnya menjadi batu yang selalu menghadap Laut China Selatan kerana ketaatan dan kesetiaan menunggu kepulangan suaminya. Begitulah asal usul nama Gunung Kinabalu yang bermaksud ‘Kina’ atau cina dan balu adalah isteri yang ditinggalkan suami.

Terdapat banyak lagi lagenda atau mitos di sebalik Gunung Kinabalu yang masih menjadi tanda tanya kepada dunia. Dan belum diketahui lagenda yang mana yang lebih tepat kerana tiada rekod yang mengatakan kesahihan cerita ini. Lagenda Gunung Kinabalu hanya diceritakan dari mulut ke mulut oleh generasi terdahulu.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.