Lagenda Gunsoloi dan Bukit Perahu

Bukit Perahu atau lebih dikenali sebagai nama Bukit Ruhiang, bukit ini terletak di dalam sebuah perkampungan iaitu kampung Ruhiang Tamoaruli. Bukit ini terletak dibelakang Kuil Buddha berdekatan dengan Jalan ke Kg Bawang, daerah kecil Tamparuli. Jalan ini juga berfungsi sebagai jalan pintas menuju ke Kg Togop, melalui Jalan lama Tamparuli-Ranau. Bukit Perahu juga dikenali sebagai bukit salib kerana di setiap check point ditanda dengan salib. Bagi penganut-penganut Roman Catholic, mereka menyebut bukit ini sebagai Bukit St.Veronica. Jarak Pekan Tamparuli dengan Bukit Perahu ialah satu kilometer sahaja.

bukit perahu

Mengikut cerita yang disampaikan Bukit Perahu ini mempunyai lagenda dan cerita yang tersendiri. Kebanyakan penduduk Tamparuli memanggil Bukit ini Sebagai Bukit Perahu disebabkan oleh terdapat sebuah batu besar yang terletak di belakang bukit tersebut seolah-olah menyerupai sebuah perahu yang besar. Tapi jika anda berniat untuk ke sana semata-mata untuk mencari batu tersebut kemungkinan usaha anda hanyalah sia-sia sahaja, kerana anda tidak mungkin menemuai batu tersebut.

Untuk pengetahuan pembaca setia urangsabah.com semua, menurut apa yang diceritakan oleh penduduk Tamparuli Pada suatu ketika dahulu terdapat seorang pemuda yang bernama Gunsoloi yang tinggal di kampung berkenaan. Gunsoloi seorang yang taat kepada ibunya dan merupakan seorang yang tegap dan berperwatakan menarik. Pada ketika itu penduduk kampung masih mempercayai ramalan yang dilakukan oleh bomoh yang dikenali sebagai Bobohizan atau Momolian. Bomoh ini dikatakan menjadi pengatara antara penduduk dengan tuhan atau dewa (Kinoingan) mereka.

kapal

Bomoh Atau Bobohizan telah membuat ramalan dan mengatakan bahawa suatu hari kawasan Tamparuli ini akan dilanda banjir besar dan akan menenggelamkan seluruh kawasan tersebut. Oleh dari itu, untuk menyelamatkan penduduk kampung Gunsoloi telah mengambil keputusan untuk mencari pokok atau kayu yang besar untuk membuat perahu di atas bukit tersebut. Setelah mendapatkan pokok yang besar dan dirasakan sesuai untuk membuat perahu, Gunsoloi pun memulakan kerja membuat perahu tersebut. Bermula pada hari itu, setiap hari Gunsoloi akan memanjat bukit tersebut untuk menyiapkan perahu di atas bukit tersebut hanya untuk menyelamatkan penduduk kampungnya.

Setiap hari sebelum Gunsoloi melakukan kerja-kerja membuat perahu tersebut, ibunya pasti akan membekalkan nasi kepadanya. Untuk pengetahuan pembaca semua, setiap kali nasi yang dibawa oleh Gunsoloi akan bertukar warna bila sahaja sampai di puncak bukit tersebut. Melihat keganjirlan itu, membuatkan Gunsoloi merasa hairan dan mula menyiasat apakah puncanya nasi tersebut berubah warna. Setelah menyiasat beberapa lama, maka Gunsoloi pun mendapat tahu bahawa tempat dimana dia membuat perahu tersebut adalah tempat tinggal bunian dan nasi yang bertukar warna kerana ditukar oleh puteri bunian tersebut.

Gunsoloi mengambil keputusan untuk menetap di puncak bukit itu hingga lah proses membuat perahu selesai. pada suatu hari sedang Gunsoloi bertukus-lumus menyiapkan perahu tersebut, puteri bunian pun memperlihatkan dirinya dihadapan Gunsoloi. Gunsoloi yang terpukau dengan kecantikan dan kejelitaan puteri bunian menawarkan dirinya untuk menikahi puteri itu. Mereka pun berkahwin, Gunsoloi yang merupakan anak yang taat sudah tidak pulang ke rumah lagi kerana dia telah menetap di perkampungan bunian bersama isterinya.

bukit-perahu

Dalam masa yang sama ramalan yang dibuat oleh Bobohizan semakin hampir, kemungkinan hujan lebat akan berlaku. Gunsoloi yang ketika itu berada di kampung bunian meminta kebenaran isterinya untuk pulang kerana ingin memberi tahu berita tersebut kepada orang kampung dan juga untuk memberi tahu bahawa perahu yang dibina telah siap di atas bukit sana. Puteri bunian mengizinkan Gunsoloi pulang ke kampungnya dengan syarat dia mesti kembali semula sebelum gerhana matahari berlaku.

Untuk Pengetahuan Pembaca urangsabah.com, Semasa Gunsoloi sampai di rumahnya gerhana matahari baru sahaja hendak terjadi. Gunsoloi memberitahu ibunya bahawa dia sudah berkahwin dengan puteri bunian dan perahu yang dibuatnya sudah siap. Sebelum gerhana berakhir, Gunsoloi yang sudah berjanji dengan isterinya mengambil keputusan untuk kembali lagi ke alam bunian. Tetapi dihalang oleh ibunya kerana Gunsoloi baru sahaja pulang, setelah hilang sekian lamanya. Gunsoloi tetap dengan pendiriannya untuk balik ke alam bunian, ibunya berasa kecil hati dan kecewa terhadap anaknya Gunsoloi yang dulunya taat, kini telah berubah sama sekali. Gunsoloi berlari keluar rumah, di ikuti oleh ibunya yang sedang menangis disaksikan gerhana matahari.

bukit-perahu

Gerhana matahari menitiskanair mata kerana tidak sangguh melihat kesedihan sang ibu yang ditinggalkan oleh anaknya. Kawasan yang terkena air mata gerhana matahari telah bertukar menjadi batu termasuklah perahu dan peralatan yang digunakan untuk membuat perahu turut manjadi batu. Sejak kejadian itu Gunsoloi hilang begitu sahaja tanpa jejak ada yang mengatakan bahawa dia juga turut menjadi batu dan ada juga yang mengatakan dia berjaya kembali ke alam bunian. Namun begitu, ramai yang mengatakan bahawa batu itu tidak akan ditemui jika ada yang mencarinya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.