Lagenda Asal Usul Keturunan Orang Sungai Di Sabah

Orang Sungai merupakan suku kaum minoriti dan jarang dikenali oleh masyarakat luar, ini kerana masyarakat ini memilih hidup untuk mengasingkan diri dari kaum lain dan memilih untuk menguruskan hal sendiri. Tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan etnik ini yang boleh dikategorikan sebagai pembentuk kepada kaum Kadazan-Dusun. Orang Sungai boleh didapati di kawasan Sandakan atau lebih spesifiknya lagi di daerah Kinabatangan, Beluran, Tangod, Pitas, Sugut dan Paitan, sebahagian kecilnya berada di Membakut, Sabah.

orang-sungai

Terdapat beberapa sub-etnik dalam etnik Orang Sungai antaranya ialah Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Bulud Upi, Dewara, Dumpas, Inokang, dan banyak lagi. Mengikut catatan sejarah, asal-usul Orang Sungai dapat dikenalpasti pada sekitar tahun 1881 yang dijumpai oleh seorang berbangsa British iaitu Sir William Burgess Pryer. Sir William merupakan Residen pertama di Sandakan dan mendapat gelaran ‘The founder Of Modern Sandakan’. Terdapat sebuah jurnal yang menceritakan bahawa semasa pengembaraan William ke Sungai Kinabatangan, beliau dikatakan terserempak dengan satu kumpulan masyarakat yang tinggal di persisiran sungai tersebut dan menjadikan sungai itu sebagai nadi kehidupan mereka. Jurnal ini mengatakan bahawa Sir William sangat berbangga dengan masyarakat ini yang memiliki cara dan kaedah yang tersendiri untuk bercucuk tanam dan menangkap ikan serta mencari hasil hutan semata-mata untuk meneruskan kehidupan.

Beliau telah menggelarkan masyarakat yang tinggal di tepi sungai ini sebagai ‘The River People’ yang bermaksud orang yang tinggal di persisiran sungai dan akhirnya dipendekkan menjadi Orang Sungai oleh Borneon Chartered Company. Namun begitu, Orang Sungai yang kita kenali kini merupakan masyarakat pribumi Sabah yang sebenar sebelum kedatangan penjajah barat di Sabah. Orang Sungai merupakan etnik dari kelompok Austonesia iaitu dari kumpulan Negrito dan Austloid.

orang-sungai

Seperti mana etnik lain di Sabah, Orang Sungai juga mempunyai cerita mitos dan lagenda tentang asal-usul keturunan dan kewujudannya yang diceritakan dari mulut ke mulut secara turun-temurun. Dalam cerita lagenda Orang Sungai yang diceritakan secara turun-temurun mengatakan bahawa asal-usul keturunan Orang Sungai terhasil dari perkahwinan antara seorang pemuda yang berasal dari sebuah buah sakti yang ditemui di sebuah hutan beribu-ribu tahun dahulu. Pemuda ini dikatakan dipelihara oleh sepasang suami isteri yang tinggal di pinggir hutan. Pemuda tersebut dipelihara seperti anak sendiri sehinggalah dewasa.

Bayi tersebut membesar menjadi seorang pemuda yang tampan dan perkasa. Pemuda ini menjadi tarikan kepada anak-anak gadis yang tinggal di kawasan berhampiran. Namun begitu menurut cerita yang disampaikan, pemuda tersebut telah jatuh hati kepada seorang gadis desa yang cantik mempesona. Seorang gadis yang cantik, mulus, lembut, putih melepak dan memiliki semua ciri-ciri isteri idaman yang diidam-idamkan oleh para lelaki. Walau bagaimanapun, gadis ini juga dikatakan mempunyai cerita lagenda yang tersendiri kerana dipercayai berasal dari buah ajaib yang diperolehi oleh seorang pemimpin desa. Menurut cerita yang disampaikan, Orang Sungai berasal dari anak cucu gadis dan pemuda ajaib tersebut, dan sudah tentu cerita legenda ini mempunyai versi-versinya tersendiri dan apa yang diselitkan di sini hanya salah satu daripada versi ceritanya.

orang-sungai

Jika dilihat dari segi agama pula, Orang Sungai mempunyai pelbagai fahaman agama berdasarkan kepada sejarah mereka di Sabah. Ada yang beragama Islam dan ada juga yang beragama Kristian. Selain daripada itu masih ada lagi Orang Sungai yang lebih memilih untuk mengamalkan agama animism iaitu agama leluhur mereka. Bagi yang beragama Islam dan Kristian pula, ramai yang telah meninggalkan pelbagai adat dan upacara yang bercanggah dengan ajaran agama mereka. Sementara itu bagi golongan tua-tua Orang Sungai yang masih berpegang teguh pada adat istiadat lama animism tetap melestarikannya berdasarkan kepada hukum adat Orang Sungai itu sendiri.

Orang Sungai di Sabah kaya dengan kesenian dan artifak etnik yang begitu halus seperti senibina, seni tampak, seni tari, sistem nilai dan budaya mereka yang penuh kelembutan dan keunikan. Dari aspek seni bina bukan sahaja mereka mampu menghasilkan binaan rumah yang kukuh dan unik malahan turut dihiasi ukiran kayu yang halus. Selain itu, Orang Sungai juga terkenal dengan hasil kraftangan yang halus dan berbagai motif seperti yang terdapat pada tudung saji, tikar mengkuang, sulaman, tekat, tenunan yang halus dengan rapi pada sarung bantal dan baju tradisional.

Seni hias yang menarik seperti serimpak pada pengantin perempuan serta seni hias sempangan yang diperbuat daripada perca kain beraneka warna dijadikan perhiasan pada dinding dan lelangit rumah semasa majlis perkahwinan. Mereka juga mempunyai peralatan muzik tradisi yang unik dan rancak seperti yang terdapat pada permainan kulintangan, gabbang kayu, gong dan gendang yang mampu dimainkan dalam berbagai rentak dan tempoh. Manakala
gesekan kecapi yang merdu boleh didengar ketika majlis perkahwinan disempurnakan.

orang-sungai

Tidak lupa juga Orang Sungai mempunyai Seni silat yang dinamik serta seni tari yang gemalai pula, dapat dilihat dalam rangkaian gerak tari tarian runsai, titikas, menumpos, abungan, mengalai serta sumarikayau. Kesemua ini masih lagi dipegang kukuh oleh Orang Sungai sehingga ke hari ini bagi memastikan ianya tidak terus dilupakan walaupun zaman sudah berubah.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.