Keindahan Pantai Pancur Hitam Labuan, Sabah.

Labuan yang dikenali sebagai Mutiara Laut China Selatan mempunyai banyak pantai yang cantik memukau. Salah satunya ialah Pantai Pancur Hitam yang sangat menarik untuk dikunjungi. Pantai ini terletak di bahagian utara pulau, iaitu di Kampung Pohon Batu Labuan. Pantai Pancur Hitam ini pernah memenangi Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008 kerana bukan saja menawarkan pantai cantik, malahan landskap yang cukup menarik.

pantai-pancur

Untuk pengetahuan pembaca urangsabah.com, kawasan pantai ini selalunya dipenuhi oleh penduduk tempatan dan juga pelancong asing. Di pantai ini juga terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan, air kelapa, bertih jagung, sosej dan banyak lagi makanan tempatan yang juga turut dijual. Jadi bolehlah anda membeli makanan di kawasan ini bersama keluarga sambil menikmati keindahan pesona pantai ataupun sekadar melepaskan penat bekerja. Dan jika anda inginkan suasana yang sunyi dan aman disinilah tempatnya yang jauh dari kesibukan dan kebisingan kota.

pantai-pancur-hitam

Selain itu, antara aktiviti yang menarik yang boleh anda lakukan disini ialah seperti perkhemahan dan BBQ. Pantai ini akan meriah pada waktu petang dengan kehadiran pengunjung yang datang dari pelbagai kawasan untuk melihat panorama indah ‘Sunset’. Berdekatan dengan pantai ini juga puncak tertinggi labuan, anda boleh mendaki Bukit Pohon Batu jika anda sukakan aktiviti lasak dan mencabar. terdapat jalan kecil yang disediakan untuk menuju ke puncak bukit tersebut. Jika anda ingin melihat panorama indah bandar Labuan, Bukit Pohon Batu ini akan membantu anda.

Pantai ini juga menjadi pilihan para jutawan untuk membina rumah-rumah mewah mereka di kawasan pantai tersebut, sehingga pantai ini dikenali dengan nama ‘House of Millions of Peace’. Berdekatan dengan rumah-rumah mewah ini terdapat satu jalan kecil yang menuju ke puncak tertinggi, dari sini kita dapat melihat skyline Pulau Labuan. Pantai Pancur Hitam ini juga terdapat banyak tempat rekreasi yang menjadi tempat para pengunjung menghabiskan waktu mereka dengan pelbagai kegiatan.

pantai-pancur-hitam

Jika anda berkunjung ke pantai ini, jangan lepaskan peluang anda untuk melihat panorama matahari terbenam yang memukau mata. Di pantai ini juga terdapat pelbagai kedai yang menjual cenderamata khas Labuan, seperti cokelat, jam tangan, mutiara dan lain-lain lagi. Pada waktu siang anda boleh menikmati dan melihat pemandangan jalan ke selatan Financial Park Complex yang terlatak di tengah-tengah Kota Labuan. Manakala pada waktu malam pula, pemandangan indah menanti anda dengan tiga puncak Bukit Batu Phin sebagai latar belakang yang dramatik.

pantai-pancur-hitam

Jika anda berniat untuk tinggal beberapa hari di kawasan pantai ini, anda boleh dapatkan penginapan yang terdapat disekitar kawasan pantai tersebut. Pantai Pancur hitam ini berdekatan Jalan Pancur Hitam dan Jalan Batu Manikar, untuk ke pantai ini anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi, bas awan, ataupun anda boleh menggunakan kereta sewa yang disediakan di pusat bandar Labuan. Dengan udara yang segar dan angin yang sejuk, Pantai Pancur Hitam menawarkan suasana menarik ketika anda berkunjung ke Labuan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.