EcoCampus UMS Pemangkin Pelancongan Di Sabah

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bukan sahaja sebuah universiti yang pesat membangun dengan bidang penyelidikan yang cemerlang tetapi juga tampil lebih jauh dengan mempromosikan keindahan alam sekitar sambil memanfaatkan aset miliknya.

Buktinya, universiti berkenaan baru-baru ini telah melancarkan Pusat Maklumat Pelawat EcoCampus (EVIC), iaitu sebuah pusat sehenti yang menyediakan maklumat dan mempromosikan pakej pelancongan di UMS. Pusat Informasi Pelawat EcoCampus (EVIC) telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun di Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada tarikh 3 Ogos 2016.

pelancaran evic

UMS mempunyai kelebihan keadaan fizikal yang dipenuhi hutan rimba yang cantik dan belum rosak serta pemandangan laut yang indah. Kerajaan menyambut baik usaha pengurusan UMS dalam menggalakkan kedatangan pelancong ke kampus berkenaan termasuk penubuhan EVIC yang mampu mempromosikan produk pelancongan kampus.

UMS memperkenalkan lima pakej pelancongan merangkumi pakej harian dan pakej bermalam berasaskan pelancongan hijau dan alam semula jadi dengan kadar bayaran yang berpatutan. Antara pakej tersebut ialah pakej Lawatan Galeri & Muzium (Gallery & Museum Tour), pakej Penghayatan Alam Semulajadi (Nature Delight Tour), pakej Warisan Arkitektual (Architecture Heritage Tour) dan pakej Penghayatan Senja (Sunset Tour).

ums tour

Aktiviti melihat burung menjadi antara tarikan yang boleh diperkembangkan di UMS kerana aktiviti tersebut semakin popular dan mempunyai nilai global yang tinggi iaitu sekitar RM16 bilion setahun dengan penglibatan ribuan ahli persatuan melihat burung sedunia. Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar juga akan membantu UMS dalam memasarkan kampus mereka sebagai destinasi pelancongan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.