Asal Usul Nama dan Sejarah Menggatal

Menggatal adalah sebuah pekan kecil dan sebuah sub-daerah yang terletak di pantai barat Sabah, Malaysia. Menggatal terletak di bawah pentadbiran Dewan bandaraya Kota Kinabalu.

Nama Menggatal diambil sempena nama sejenis pokok mangga yang mengeluarkan sejenis buah apabila dimakan akan menyebabkan kegatalan. Tempat ini disebut ‘Mangga gatal’, namun tidak lama kemudian nama ini diringkaskan menjadi ‘Menggatal’. Pada asalnya daerah ini merupakan kawasan penduduk bumiputera Dusun, tetapi sekarang kawasan ini mengalami peningkatan drastik berikutan penghijrahan kaum Filipina dan Indonesia ke Sabah.

pekan_menggatal

Ada diantara orang-orang Filipina dan Indonesia tersebut yang memasuki negara Malaysia secara sah dan ramai diantara mereka yang memasuki secara haram. Mereka telah mewujudkan satu koloni masyarakat yang membimbangkan bukan sahaja di Menggatal tetapi di seluruh Sabah. Namun begitu pihak kerajaan sedang giat membenteras kemasukan imigran secara haram dengan sentiasa menjalankan operasi penangkapan dan pengawalan yang berterusan di sempadan negara.

Pekan Menggatal mempunyai beberapa jajaran rumah kedai. Kebanyakannya adalah binaan baru menggunakan konkrit namun terdapat tiga blok rumah kedai yang masih dikekalkan dalam bentuk kayu. Rumah kedai berstruktur kayu itu dikatakan telah wujud sebelum era Perang Dunia ke-II. Pemilik dan pekerja di kebanyakan rumah kedai di Menggatal adalah dari kalangan minoriti kaum Cina Sabah.

pekan Menggatal

Jalan raya yang berada di pekan ini telah dihubungkan dengan Bandaraya Kota Kinabalu melalui Jalan Tuaran (Tuaran Road), iaitu jalan utama di bahagian utara Kota Kinabalu. Sub-bandar lain yang berhampiran dengan pekan Menggatal ini adalah sub bandar Inanam.

Walaupun pokok mangga gatal yang menjadi asas nama pekan itu sudah tiada, namun sejarahnya masih kekal dan segar dalam ingatan kebanyakan generasi tua di Menggatal yang satu ketika dulu pernah menyebut nama pekan itu sebagai Mangga Gatal. Usaha membina mercu tanda yang diambil sempena asal usul nama pekan Menggatal itu juga penting bagi memastikan cerita yang ada di sebalik nama berkenaan diketahui generasi muda di Menggatal dan orang luar keseluruhannya.

Sekarang ini, generasi muda di Menggatal sendiri ramai yang tidak tahu mengenai cerita mangga gatal ini, menyebabkan orang ramai terutama masyarakat luar membuat tafsiran yang negetif terhadap perkatakan pekan “Menggatal”

pekan Menggatal

Pembinaan mercu tanda itu juga adalah antara usaha untuk meningkatkan keindahan landskap dan imej pekan Menggatal supaya kelihatan lebih menarik sesuai dengan kedudukannya sebagai sebahagian daripada kawasan bandar raya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.