Angkara Kianat, Hilangnya Pejuang Agama Dan Bangsa

Bumi Pandasan pada suatu ketika dahulu sangat aman dan rakyatnya hidup harmoni, masyarakatnya sangat berpegang teguh kepada ajaran dan undang-undang Islam. Peristiwa Pandasan atau lebih dikenali sebagai Perang Pandasan yang berlaku pada 26 April 1915 bersamaan 12 Jamadilakhir 1333 H. Pada ketika itu lahirnya seorang pahlawan agama dan bangsa yang berjuang bermati-matian mempertahankan agama dan tanah air. Namun pada tarikh tersebut seorang pejuang yang dikenali sebagai Embo Ali dan pengikutnya telah terkorban mempertahankan maruah agama dan bangsa.

perang-embo-ali

Sebelum tercetusnya perang Pandasan, masyarakat mengadakan upacara ‘Betitik’ selama tiga hari tiga malam atau juga dikenali sebagai “Peghkalilang” oleh orang Irranun. Pada hari-hari terakhir para pejuang tersebut, irama ‘Tigad-tigad’ yang bermaksud tetak mengiringi kepergian mereka untuk menghadapi perang, gendang perang di palu terlebih dahulu bertujuan untuk memberi semangat juang kepada para pejuang.

Embo Ali dan para pengikutnya menunggu ketibaan pasukan tentera British dengan zikir dan wirid memuji keagungan dan kebesaran Allah S.W.T. Embo Ali dan para pejuang yang lain menanti kedatangan British dengan berpakaian serba putih sebagai lambang perjuangan suci mereka mempertahankan maruah agama dan bangsa sehingga ke titisan darah terakhir. Mereka hanya bersenjatakan gayang (pedang), bujak (lembing), pidah (parang) dan senjata tradisional yang lain.

Pasukan British telah melakukan serangan dengan melepaskan tembakan merian dan senapang, bunyi tembakan berselang-seli dengan jeritan dan lauangan ‘Allahuakbar’ yang membingitkan suasana perang Pandasan ketika itu yang kini telah menjadi tapak Tamu Pandasan.

perang

Tembakan meriam dan senapang pasukan British tidak sedikit pun mencederakan Embo Ali dan pengikut-pengikutnya. Ternyata kehebatan “Ilmu Petunang” Embo Ali berjaya membuatkan senjata anggota British tidak berfungsi dan membuatkan mereka saling menembak sesama sendiri. Tembakan yang dilepaskan juga tidak mengenai sasaran, dan kesannya masih boleh dilihat pada pokok-pokok besar sehingga ke hari ini.

Melihat kepada keadaan tersebut, lahirlah watak seorang pengkianat dan tali barut British yang bernama Arshad. Arshad merupakan salah seorang dari pengikut Embo Ali yang telah diperturunkan ilmu kepahlawanan. Arshad yang telah dirasuk syaitan mula membayangkan imbuhan yang akan diperolehinya setelah mengkhianati rakan seperjuangan dan gurunya sendiri. Tidak seperti Jebat yang derhaka kerana menuntut Keadilan, Arshad menderhaka kerana kuasa dan kekayaan.

Arshad memilih untuk hidup mulia, Embo Ali memilih untuk mati syahid. Arshad mengetahui kelemahan Embo Ali lalu bertindak meminjam bujak (lembing) kepunyaan gurunya itu. Sebagai salah seorang anak murid yang paling dipercayai dan antara yang terhandal berbanding yang lain, Embo Ali tidak menyangka anak murid kesayangannya itu sebenarnya takut mati dan terlebih dahulu telah bersubahat dengan pihak British.

perang pandasan

Setelah mendapat bujak kepunyaan gurunya itu Arshad melaungkan “sumbang/setumbang noh kiti guru!!!’’ yang bermaksud “berlawanlah kita wahai tok guruku”, Arshad membujak Embo Ali dalam keadaan beliau tidak bersedia. Antara dialog yang dirakamkan dalam ingatan mereka yang tidak terbunuh dan menyaksikan babak itu adalah seperti berikut.

“Sampai hatimu Arshad. Aku pelihara kau seperti anak sendiri, ku perturunkan segala ilmu. Sebegini rupa kau membalasnya”. Ini kerana Arshad bukanlah penduduk asal Kota Belud. Dan sudah menjadi budaya masyarakat di Kota Belud menghormati orang luar. Budaya ini kekal sehingga ke hari ini, dimana sekiranya anda seorang perantau dan datang ke Kota Belud, mereka akan melayani anda dengan sebaik mungkin. Apa yang ada di dapur mereka, itulah juga yang anda makan. Melainkan sudah tiada, memadailah sekadar secawan kopi dan biskut kering. Seperti yang digambarkan dalam sebuah perumpamaan bangsa Samah.”Mangan nia mangan asal jo kiti kurung kurung” yang bermaksud makan tak makan, yang penting kita berhimpun.

pasukan-perang

Di saat-saat akhir hayatnya, Embo Ali sempat berpesan kepada anak muridnya yang lain agar meneruskan perjuangan ” Baya ni matai entorong bujak”. Yang membawa maksud biarlah mati dihujung lembing. Akhirnya pergilah seorang pejuang agama dan bangsa. Pemimpin berkarisma yang menjadi simbol penyatuan bangsa yang berlainan agama dan kepercayaan. Pengikut-pengikut Embo Ali yang masih hidup cuba membunuh Arshad tetapi tidak berhasil kerana Arshad sememangnya seorang yang handal bertarung hasil didikan Embo Ali. Satu demi satu pejuang gugur dan berakhirlah perjuangan suci dibumi Pandasan. Pakaian putih dibasahi darah merah. Jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang di sebuah permakaman besar di kampung Pandasan selayaknya untuk mereka yang mati syahid. Mayat pejuang-pejuang yang bukan beragama Islam pula dikebumikan di kampung masing-masing. Arshad diangkat sebagai wira di Kota Belud. Sebuah sekolah menengah di Kota Belud diambil bersempena dengan namanya yang telah berjasa kepada British kerana mengkhianati guru dan rakan seperjuangannya.

Berbekalkan ilmu kepahlawanan dan sokongan dari pihak British, Arshad mula berlagak seperti seorang diktator. Merampas tanah dan harta penduduk tempatan. Disamping mengenakan cukai-cukai yang tidak munasabah. Waris-waris dan keturunan Embo Ali dan wira wira Pandasan dihina sebagai keturunan pemberontak. Dan ada diantaranya yang berhijrah meninggalkan tanah tumpah darah mereka dan meninggalkan keluarga besar mereka di Kota Belud.

perang

Begitulah seadanya satu penceritaan ringkas. Saya menyeru anak-anak muda yang berbangsa Samah, Dusun dan Irranun terutamanya yang berasal dari Kota Belud agar tidak melupakan sejarah yang cuba dipadamkan ini.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.