Adat Perkahwinan Yang Diamalkan Oleh Orang Sungai Sabah

Orang Sungai merupakan masyarakat asli di pedalaman Sabah. Mereka juga tergolong dalam golongan suku kaum kadazandusun kerana mereka dikatakan berkongsi adat dan bahasa yang hampir sama dan tidak jauh beza. Orang Sungai biasanya boleh dilihat di sekitar daerah Kinabatangan, Beluran dan Kota Marudu iaitu di daerah Sakau, Bukit garam, Tongod, Pinangan, Telupid, Sapi-Nangoh, Pamol, Paitan, dan Pitas. Selain kawasan itu, Orang Sungai juga boleh didapati di kawasan Ranau, Lahad Datu dan Sandakan. Orang Sungai juga merupakan Pribumi yang memiliki bilangan yang ramai di Pantai Timur.

Masyarakat Sungai mempunyai pelbagai adat yang diamalkan dan diwarisi dari turun-temurun. Adat yang diamalkan menjadi cerminan kepada identiti mereka dan agar mudah dikenali sebagai sesuatu suku kaum. Orang Sungai mengamalkan adat seperti adat perkahwinan, kelahiran, kematian dan adat-adat lain yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Dalam adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Orang Sungai terdapat pelbagai peringkat yang harus diikuti oleh pasangan yang ingin berkahwin. Antaranya adalah seperti berikut.

perkhawinan

Pihak lelaki mencari jodoh.
Langkah pertama diambil oleh pihak lelaki dengan memberi isyarat kepada pihak perempuan iaitu dengan memberi air, kayu, barangan dapur, pakaian atau alat solek sebanyak dua kali. Pada kali ketiga pihak perempuan akan bertanyakan kepada si lelaki samada barang yang diberikan adalah sedekah atau mempunyai tujuan yang lain. Jika si lelaki tidak mempunyai tujuan tertentu dan sekadar suka-suka sahaja, maka keluarga perempuan akan melaporkan perkara ini kepada ketua kampung dan si lelaki tadi akan didenda sebanyak 2 bijik gong, satu gong kerana telah memalukan si perempuan dan satu lagi kerana telah menyebabkan malu keluarga perempuan. Hukuman atau denda ini diadakan adalah bertujuan agar si lelaki tidak memperkecil-kecil atau memalukan anak gadis atau keluarga perempuan di sesuatu kampung.

Tapi sekiranya, pihak lelaki sememangnya mempunyai tujuan dengan maksud ingin merisik atau meminang si perempuan, maka pihak lelaki perlu memberi satu ekor ayam yang besar sebagai tanda menghormati kesucian perempuan yang bakal dijadikan isteri. Namun begitu, jika ada pihak perempuan mendapati ada lelaki yang memberi sesuatu dengan maksud ingin meminang tetapi tidak disukaui atau dipersetujui oleh keluarga perempuan, maka pihak perempuan perlu mengembalikan apa sahaja barang yang telah diberikan oleh pihak lelaki dalam masa tiga hari. Sekiranya melebihi tiga hari dan pihak perempuan belum memulangkan barang yang diberikan, maka pihak lelaki akan menghantarkan wakil untuk merisik (wang 20 ringgit) bertujuan untuk meminta keputusan samada pihak perempuan bersetuju atau tidak. Jika selama tiga hari pihak perempuan tidak mengembalikan wang risikan, maka proses meminang dan proses seterusnya akan diteruskan

merisik

Adat semasa meminang.
Rombongan yang dihantar semasa meminang biasanya 3 hingga 7 orang dan barang meminang akan dibawa atau dipegang oleh ketua rombongan dan barang atau bungkusan yang dibawa tidak oleh diampai atau diletakkan di atas lantai sehingga proses meminang selesai barulah barang atau bungkusan tersebut dipersembahkan dihadapan ibu bapa si gadis. Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila rombongan pihak lelaki sampai di rumah perempuan , ketua rombongan akan menyerahkan wang buka mulut sebanyak 20 ringgit setelah itu, barulah keluarga perempuan akan akan memulakan proses atau bercerita mengenai hajat kedatangan rombongan tersebut. Semasa proses perbincangan dilakukan, pihak perempuan akan akan bertanya kepada rombongan tersebut tentang perkara yang boleh dibangkitkan seperti nazar.

Setelah selesai perbincangan pihak perempuan dan semua nazar dan wang ganti keluarga tidak dapat hadir sudah ditunaikan maka pihak keluarga perempuan akan membentangkan jumlah permintaan contoh wang tunai RM5000 tidak termasuk rumah baru,lembu dan kelengkapan set tidur pihak perempuan. Jika permintaan tersebut telah dipersetujui bersama maka pihak perempuan akan menghuraikan semua keburukan dan kebaikan semua keluarga pihak perempuan jika telah dipersetujui maka semua perkara yang dianggap tahlik akan didokumenkan dan disimpan bersama oleh kedua-dua pihak untuk rujukan bersama. Selepas itu, perbincangan tempoh pertunangan sama ada kahwin serta merta atau tempoh tiga bulan bertunang.

orang sungai

Tempoh bertunang ini sebenarnya tidak terikat dengan hari yang ditetapkan jika pihak lelaki telah dapat mengumpul permintaan pihak perempuan maka bila-bila masa sahaja pihak lelaki boleh membincangkan perkara perkahwinan ini dan boleh dipercepatkan daripada tempoh perjanjian dan jika telah dipersetujui bersama maka kedua-dua pihak akan menetapkan tarikh sebenar perkahwinan dengan mengambil kira waktu atau hari yang terbaik mengikut adat dan berpandu kepada sunah nabi.

Malam Berinai (Berlimbun)
Pihak lelaki dan perempuan akan bersama-sama menentukan waktu untuk melangsungkan upacara mandi berlimbun. Dalam upacara ini mak andam kedua-dua pihak akan membacakan jampi mentera untuk membuang sial dan memohon kebaikan dan dimurahkan rezeki pasangan tersebut. Malam berinai dimulakan dengan pengantin dipakaikan atau dimandikan bedak dan memakai inai dijari tangan dan kaki. Pengantin lelaki biasanya akan memasuki rumah pengantin perempuan diantara jam 2 hingga 4 petang. Setelah pihak lelaki sampai ke rumah perempuan, pihak perempuan perlu melakukan perarakan rombongan tiga kali pusing atau tujuh kali pusing mengelilingi rumah pengantin perempuan.

malam-berinai

Sesudah itu, pengantin akan dipersilakan naik kerumah. Pihak perempuan menyediakan akan sebilah parang, sebuah dulang (talam) yang diisi dengan darah ayam untuk dipijak oleh pengantin lelaki sebagai tanda merestui perkahwinan itu, bersama itu juga mak andam akan menaburkan beras kunyit kepada pengantin lelaki dan rombongan. Selepas akad telah disempurnakan oleh tuan imam, sapu tangan yang digunakan semasa akad nikah pihak lelaki (pengantin) masuk ke bilik pengantin perempuan kemudian sapu tangan tersebut dipusingkan sebanyak 3 kali di atas kepala pengantin perempuan dan melepaskan sapu tangan tersebut tepat diatas telapak tangan perempuan dan pengantin perempuan menyambutnya sebagai tanda rela menerima lelaki tersebut sebagai suami yang sah disisi undang-undang.

Sebelum itu lelaki tidak boleh melepaskan sapu tangan tersebut selepas akad nikah sebelum membatalkan akad nikah tersebut. Semasa pengantin lelaki masuk ke bilik perempuan, mak andam pengantin perempuan akan meminta rantar kaput (sebilah pisau) dan Singkab Lawang sebanyak 1 pisau dan Rm50, tetapi jika pengantin perempuan janda atau balu(Rantar Kaput sudah tidak ada lagi), setelah selesai upacara membatal dan memusing dilangsungkan didalam bilik pengantin perempuan, pihak pengantin lelaki boleh mewakilkan kepada mak andam untuk memusing pihak perempuan. Selepas itu barulah upacara bersanding. Berian bagi wanita atau darah ialah RM80 bagi zaman dahulu zaman sekarang RM100 manakala bagi janda atau balu RM40 bagi zaman dahulu dan RM80 pada zaman sekarang.

orang-sungai

Upacara mutingkuang
Sebelum kedua-dua pengantin naik kerumah pengantin lelaki, perkara-perkara yang mesti ditunaikan oleh pihak lelaki ialah pertama Langkah Selang (langkah laut) sebuah Gadur (jenis barang tembaga) ,kedua Keseruangan (keizinan masuk kerumah lelaki) satu tembaga, Ingkag
(parang yang disimpan pada muka pintu), sebilah parang ketegowongan sebuah tembaga, Gadur atau Selapa (tapak sirih), sebuah talam bersama dengan darah ayam, beras kuning dengan ambiau, tebu untuk tujuan sogit. Pengantin lelaki dan perempuan tidak boleh bermalam dirumah lelaki, mesti balik dirumah pihak pengantin perempuan sebelum waktu subuh kerana dipercayai jika melanggar adat ini pengantin tidak aman damai dan pendek umur.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.